CONTOH-CONTOH KARANGAN

CONTOH-CONTOH KARANGAN
.

Thursday 22 January 2015

CONTOH-CONTOH KARANGAN SPM


A. SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI
Rakan anda sering mengeluh kerana banyak masa dihabiskan untuk mengulang kaji pelajaran tetapi prestasinya masih tidak memuaskan. Dia telah menghantar surat kepada anda untuk meluahkan masalah yang dihadapinya dan ingin mendapatkan nasihat daripada anda.

Balas surat rakan anda selengkapnya untuk memberinya nasihat sekali gus berkongsi cara-cara yang telah anda lakukan untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran.



 Lot 7558-26,
Jalan Setia 1,
Taman Tunku,
Miri,Sarawak.

22 Ogos 2014

            Menemui saudariku, Krystal yang kini berada di Bintulu. Apa khabar saudari di sana?Saya di sini sihat-sihat sahaja. Saya berharap saudari dan keluarga dalam keadaan yang sihat juga.

           Sudah begitu lama kita tidak berhubung semenjak saudari berpindah sekolah.Saya sangat terkejut dan gembira apabila menerima surat saudari dua minggu yang lepas. Apabila saya membaca surat saudari, saya berasa sangat khuatir dan ingin tahu bagaimana keadaan sebenar yang dialami oleh saudari di sana.

Sahabatku Krystal,

   Setiap manusia yang dicipta di muka bumi ini pasti akan menghadapi masalah dan ujian daripada Tuhan. Saudari tidak sepatutnya mengeluh dan berputus asa dengan cepat apabila melakukan sesuatu perkara. Sebagai seorang pelajar sekolah menengah atas, saudari harus berfikir dengan lebih matang. Apabila kita menghadapi kegagalan, tidak bermaksud kita akan gagal selamanya. Saudari mengatakan bahawa masa saudari banyak dihabiskan untuk mengulang kaji pelajaran tetapi prestasi saudari masih tidak memuaskan. Mungkin saudari menggunakan teknik belajar yang salah. Walau bagaimanapun, saudari tidak perlu bimbang kerana masih belum terlambat untuk berubah.

        Saya ingin berkongsi serba-sedikit cara-cara untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran.Setahu saya, saudari akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun depan. Sebagai permulaannya, saudari harus menetapkan visi atau matlamat saudari sendiri. Sudah tentulah saudari mahu memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Bagi saya,dengan adanya visi tersebut, saya seolah-olah bersemangat untuk belajar setelah membaca visi yang saya buat. Visi tersebut seolah-olah menjadi pendorong dan pembakar semangat saya selain daripada kedua-dua ibu bapa saya.Saudari boleh membuat visi dan menghias visi tersebut. Kemudian, tampalkan di kawasan saudari selalu mengulang kaji pelajaran. Saudari akan membaca visi saudari setiap kali mahu belajar.

   Selain itu, saudari harus menyediakan jadual harian dan jadual belajar. Perkara ini sangat penting bagi memastikan masa saudari dapat digunakan dengan betul dan sistematik. Saudari harus membahagikan masa saudari dengan baik agar tidak terbuang begitu sahaja kerana masa itu emas. Namun, saudari bukan sahaja harus menyediakan sebuah jadual tetapi harus belajar untuk menepatinya juga. Pada awalnya, saudari mungkin akan berasa susah dan tidak yakin untuk mengikuti segala yang saudari telah jadualkan. Saya juga berasa begitu pada mulanya. Namun, lama-kelamaan saudari akan berasa selesa dan biasa apabila saudari sentiasa menepati jadual saudari.

Sahabatku Krystal,

   Kebanyakan pelajar lebih suka mengulang kaji pada saat-saat akhir kerana banyak yang berpendapat belajar saat-saat akhir memudahkan lagi kita mengingati sesuatu yang kita pelajari. Pendapat itu meleset sama sekali. Hal ini perlu dielakkan untuk dipraktikkan dalam kehidupan saudari. Saya yakin pihak sekolah akan memberi jadual ujian dengan awal dari tarikh ujian. Saudari akan mempunyai masa yang cukup untuk mengulang kaji pelajaran. Saudari sekurang-kurangnya memperuntukkan empat jam untuk mengulang kaji pelajaran. Tetapi, saudari tidak harus mengabaikan kerja sekolah yang diberi oleh guru di sekolah. Melalui latihan, saudari dapat mempelajari sesuatu topik dengan lebih mendalam dan berkesan.

   “Otak cerdas, badan cergas”. Ungkapan ini harus diambil kira oleh saudari. Saudari harus keluar bersenam bagi menyihatkan tubuh badan sekali gus dapat mengurangkan risiko menghidap penyakit dalam diri kita. Saudari sangat memerlukan persekitaran yang bersih, indah dan tenang agar dapat mengurangkan stress belajar. Kandungan oksigen dalam badan saudari akan stabil apabila saudari bersenam. Dengan ini, saudari tidak akan berasa mengantuk semasa mengulang kaji. Otak saudari akan berfungsi dengan lebih baik dan efektif. Saudari juga perlu mendapatkan rehat yang cukup. Saudari harus tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari. Saudari tidak akan berasa mengantuk semasa guru mengajar sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya. Hal ini sangat penting supaya saudari tidak ketinggalan apa yang diajar oleh seseorang guru.

Saudari,

   Pengambilan makanan yang seimbang juga sangat penting. Pengambilan makanan yang seimbang adalah berdasarkan piramid makanan. Saudari harus mendapatkan nutrisi-nutrisi makanan yang berkhasiat bagi membentuk badan yang sihat. Pengambilan lemak yang berlebihan akan menyebabkan obesiti. Pepatah orang tua sering mengatakan bahawa makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang. Apabila saudari terlalu kenyang, saya pasti saudari akan berasa malas untuk melakukan sesuatu perkara.Masalah ini perlu dielakkan agar saudari dapat memperoleh kejayaan yang saudari impikan.

   Perkara yang paling penting adalah saudari harus ada motivasi yang tinggi bagi mencapai kejayaan. Saudari harus ada semangat juang yang tinggi untuk belajar.Saudari tidak harus berputus asa apabila menghadapi pelbagai cabaran hidup. Saudari harus berpendirian teguh agar tidak termakan kata-kata rakan sebaya untuk melakukan aktiviti yang tidak berfaedah. Apabila saudari terjebak ke arah yang salah,saudari akan menyesal seumur hidup namun hal itu tidak berguna lagi kerana nasi sudah menjadi bubur. Oleh itu, saudari harus ada pegangan agama yang kuat. Apabila saudari menghadapi sesuatu masalah, saudari perlu berdoa kepada Tuhan agar diberikan petunjuk. Sang Pencipta tidak akan mengecewakan umatnya yang percaya. Justeru itu, saudari harus mengikuti dan melaksanakan kewajipan saudari sebagai seorang yang beragama Kristian.

   Saya rasa mungkin sampai di sini sahaja coretan saya kali ini.Saya berharap saudari tidak akan berputus asa dan agar cara-cara yang saya kongsikan dapat membantu saudari dalam mengecapi impian saudari. Saudari harus ingat bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Semoga semua usaha yang dilakukan oleh saudari nanti akan membuahkan hasil yang mengembirakan. Jangan lupa untuk sampaikan salam saya kepada keluarga saudari. Jika ada kelapangan, sudilah bertandang ke rumah saya di Miri.

Sekianlah, terima kasih.




Sahabatmu,
                                                                              Siah                                                                                                      


B. KARANGAN JENIS FAKTA


Kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah dalam kalangan generasi muda. Karangan bahagian A. SPM


      
  Pada masa ini, mata pelajaran Sejarah bukanlah suatu mata pelajaran yang asing kepada para pelajar. Sejak dari tingkatan satu, pelajar sudah mula berkenalan dengan mata pelajaran ini. Tambahan pula mata pelajaran Sejarah telah diwajibkan lulus bagi semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013. Walau bagaimanapun, terdapat murid yang menunjukkan perasaan tidak puas hati terhadap pelaksanaan tersebut kerana beranggapan bahawa Sejarah merupakan suatu mata pelajaran yang susah dan membosankan walhal banyak faedah yang dapat diperoleh melalui pembelajaran mata pelajaran ini. Persoalannya, apakah kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah khususnya dalam kalangan generasi muda?
        Dengan mempelajari mata pelajaran Sejarah, generasi muda dapat memperoleh banyak pengajaran. Hal ini demikian kerana dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang dinyatakan mengandungi pelbagai pengajaran yang tersirat. Sebagai contoh, peristiwa Tanah Melayu dijajah dan ditindas oleh penjajah British memberi pengajaran kepada generasi muda supaya jangan terlalu mudah mempercayai orang asing. Orang British digambarkan dengan licik dan jahat pada masa itu kerana sanggup menggunakan tipu muslihat atau taktik kotor untuk meluaskan kawasan jajahan mereka di tanah air kita. Justeru, generasi muda perlulah sentiasa ingat akan pengajaran tersebut dan tidak mengulanginya pada masa akan datang bagi mengelakkan peristiwa yang sama berulang lagi.
        Dalam pada itu, perpaduan antara kaum akan dapat dicapai melalui pembelajaran mata pelajaran Sejarah dalam kalangan generasi muda. Tamsilnya, semasa Tingkatan 3, para pelajar akan mempelajari peristiwa Tanah Melayu mendapatkan kemerdekaan. Dalam perjuangan tersebut, penduduk Tanah Melayu yang  terdiri daripada pelbagai kaum tanpa mengira warna kulit sanggup mengetepikan semangat kenegerian demi mendapatkan kemerdekaan bagi tanah air yang tercinta. Mereka telah bekerjasama bagai aur dengan tebing dan tidak mudah menyerah kalah. Perkara ini cukup membuktikan bahawa betapa pentingnya semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dalam kemajuan negara sekali gus dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020.
        Pada masa yang sama, semangat cinta akan negara turut dapat dipupuk dalam diri generasi muda. Generasi muda seharusnya mengingati jasa dan sumbangan tokoh-tokoh tanah air seperti Tunku Abdul Rahman. Jasa beliau patut dikenang oleh semua rakyat Malaysia kerana tanpa beliau, tidak mungkin kita dapat menikmati kemakmuran dan kedamaian di negara kita sendiri. Oleh itu, semangat nasionalisme dapat dipupuk dalam jiwa generasi muda malah mereka akan sentiasa bersyukur dan memberi penghargaan terhadap pengorbanan pejuang tanah air terdahulu seterusnya menghindarkan generasi muda daripada bersikap seperti kacang lupakan kulit.
        Secara tuntas, mata pelajaran Sejarah sangat penting bagi generasi muda. Selain itu, banyak faedah boleh diperoleh melalui mata pelajaran Sejarah. Generasi muda tidak sepatutnya mempunyai anggapan bahawa Sejarah sesuatu yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk minat anak dalam mata pelajaran Sejarah. Minat tersebut harus dipupuk sejak mereka kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun, kerjasama semua pihak dituntut dalam usaha memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat yang telah ditetapkan kerana sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing hanya mendatangkan kerugian sebaliknya peribahasa bukit sama didaki lurah sama dituruni wajar dijadikan panduan.


C.KARANGAN BAHAGIAN A SPM
Hukuman Rotan di sekolah (Karangan bahagian A) SPM



Mutakhir ini, kemerosotan disiplin dalam kalangan pelajar semakin mencemaskan semua pihak. Hampir setiap hari, media massa seperti televisyen dan akhbar melaporkan kes salah laku yang melibatkan pelajar sekolah. Antaranya ialah gejala buli, vandalisme, ponteng sekolah, pergaduhan, melawan atau memukul guru dan pelbagai kesalahan lain. Dalam usaha hendak membendung gejala yang tidak sihat ini, pihak kementerian pelajaran telah mengambil langkah untuk melaksanakan semula hukuman rotan di sekolah. Namun persoalannya, sejauh manakah hukuman rotan ini akan memberikan impak yang baik memandangkan terdapat segelintir daripada ibu bapa yang tidak bersetuju dengan pelaksanaannya?

Ghalibnya, pelaksanaan hukuman rotan dilihat berkesan sebagai langkah untuk menangani masalah pelanggaran disiplin dalam kalangan pelajar. Sehingga kini, banyak pelajar yang berani melakukan kesalahan kerana mereka sedar bahawa guru tidak mempunyai kuasa untuk menghukum mereka dengan cara merotan. Jadi, ada antara mereka yang berani mencabar kuasa guru dan melanggar peraturan sekolah. Oleh itu, hukuman rotan ini akan mendatangkan ketakutan kepada pelajar lebih-lebih lagi jika dilaksanakan di khalayak ramai seperti semasa perhimpunan. Dengan itu, pelajar akan takut dan sedar bahawa pihak sekolah serius terhadap masalah disiplin yang berlaku di sekolah. Perasaan gerun dan sikap waspada ini akan menyebabkan pelajar lebih mematuhi peraturan sekolah. Secara tidak langsung, kes disiplin di sekolah dapat dikurangkan dengan pelaksanaan hukuman ini.

Bukan itu sahaja, hukuman rotan juga dapat memberi pengajaran kepada pelajar. Seperti kita sedia maklum, hukuman rotan ini memang penting untuk menjinakkan pelajar yang degil dan keras kepala. Hal ini kerana tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelajar yang jahat dan nakal, malah tidak mempedulikan teguran atau nasihat guru. Oleh yang demikian, mereka wajar dirotan kerana tindakan ini akan menyebabkan mereka berasa malu dan takut serta serik untuk mengulangi perbuatan yang melanggar peraturan sekolah. Tegasnya, hukuman rotan ini menjadi pelengkap kepada asuhan ibu bapa dan peringatan kepada pelajar untuk menghormati guru serta mematuhi peraturan sekolah.

Selain itu, hukuman rotan juga dilihat mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan selamat. Hal ini kerana, kebanyak pelajar suka membuat bising, terutamanya dalam kelas yang lemah. Sebagai akibatnya, proses pembelajaran akan terganggu. Pelajar yang lain tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru. Sekiranya nasihat dan teguran secara lembut tidak mendatang kesan, maka hukuman rotan ini dapat mengubah keadaan. Hal ini jelas apabila pelajar yang nakal ini dirotan, keadaannya biasanya menjadi lebih terkawal. Suasana pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih kondusif dan efektif malah para pelajar dapat belajar dengan tenang.

Tuntasnya, saranan kementerian untuk melaksanakan semula hukuman rotan di sekolah sebagai prakarsa untuk membendung masalah disiplin dalam kalangan pelajar wajar disokong oleh semua pihak. Ibu bapa tidak seharusnya cepat melatah dan terburu-buru membantah pelaksanaan hukuman ini sebaliknya menilainya dari sudut yang positif. Namun, para guru diingatkan untuk bertindak secara bijak agar tidak menyalahgunakan hukuman rotan ini dan bertepatan dengan tujuan pelaksanaannya.                      







D. CARA-CARA MENGATASI PENGGUNAAN BAHASA ROJAK



                      “Gunakan bahasa kebangsaan kita,

                        Marilah kita amalkan ramai-ramai,

                        Bahasalah yang menyatukan kita,

                        Yakinlah bahasa jiwa bangsa…”

Berdasarkan lirik lagu di atas, jelas menggambarkan kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan.  Namun, akibat rempuhan gelombang globalisasi dari luar serta realiti sosiopolitik di dalam negara sejak satu dekad yang lalu menyebabkan kualiti bahasa kian terjejas. Jika dilihat dengan teliti, jelas menunjukkan bahawa bahasa kebangsaan kita kian tercemar akibat penggunaan bahasa rojak. Persoalannya, apakah  langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak ini agar bahasa kebangsaan tidak terus hilang martabat dan kedaulatannya?

Sudah terang lagi bersuluh, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sangat penting dalam usaha mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak di negara ini. Badan induk ini bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang supaya masyarakat peka dengan penggunaan bahasa. Dalam konteks ini, mereka haruslah memantapkan etika kerja supaya masyarakat lebih tertarik untuk memurnikan bahasa Malaysia. Hal ini dapat dilakukan dengan meningkatkan kualiti buku-buku bahasa, contohnya Kamus Dewan Bahasa mestilah ditambah baik dengan memastikan entri-entri baharu ditambah dari semasa ke semasa supaya masyarakat  lebih cinta akan bahasa yang menjadi lambang bangsa. DBP perlu menjadi sebuah badan yang berpengaruh supaya pencinta bahasa lebih tertarik untuk mengembleng tenaga bagi bersama-sama membendung masalah penggunaan bahasa rojak.

Murai berkicau hari siang, sektor awam juga turut memainkan peranan penting untuk meningkatkan martabat bahasa kebangsaan daripada terus dicemari dengan penggunaan bahasa rojak. Kakitangan sektor awam mestilah mematuhi pekeliling yang telah dikeluarkan oleh DBP yang mewajibkan bahasa kebangsaan digunakan sepenuhnya dalam majlis rasmi termasuklah mesyuarat. Merekan perlu bertindak sebagai “polis bahasa” untuk mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak sekali gus mengelakkan bahasa Malaysia tercemar dan terpinggir sedangkan bahasa kebangsaan ini merupakan bahasa rasmi di negara kita seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” perlu terus dilaungkan oleh masyarakat Malaysia kini dan akan datang. Kita seharusnya sedar bahawa bahasa Malaysia bukan milik orang Melayu sahaja tetapi menjadi hak bangsa Malaysia yang berbilang kaum sejajar dengan slogan yang dilaungkan oleh pemimpin negara iaitu “1 Bangsa 1 Bahasa 1 Malaysia”.

Langkah seterusnya adalah dengan pelaksanaan kempen kesedaran secara berterusan. Rakyat Malaysia perlu menjulang bahasa Malaysia demi jati diri, maruah dan martabat bangsa. Justeru, kempen kesedaran secara besar-besaran perlulah diadakan sepanjang masa bukannya bermusim atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Walau bagaimanapun, orang ramai tidak boleh mengharapkan tindakan daripada pihak DBP sahaja sebaliknya mereka perlu bekerjasama dan berganding bahu seia sekata ibarat sejunjung bak sireh dan serumpun bak serai bagi menjayakan setiap inisiatif  yang dirancang oleh pihak DBP dalam usaha membendung masalah penggunaan bahasa rojak. Semua pihak seperti sekolah, komuniti kampung dan bandar perlu memberikan idea yang bernas dalam memastikan prakarsa yang berkesan dalam menangani masalah ini. Bukan itu sahaja, pihak media massa juga memainkan peranan penting dengan mengelakkan penggunaan bahasa rojak supaya kempen yang diadakan akan memberi impak yang maksimum ke arah memartabatkan bahasa Malaysia.

Tuntas bicara, semua rakyat perlu sedar dan peka akan perubahan dan masalah yang timbul agar episod lama tidak berulang. Jasa pemimpin terdahulu yang ingin memartabatkan bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi negara perlu dibalas setimpal seperti kata peribahasa madu yang diberi jangan pula dibalas dengan tuba. Hal ini kerana tidak mustahil masalah penggunaan bahasa rojak yang menjadi salah satu pencemaran bahasa akan dapat ditangani dengan adanya kerjasama semua pihak. Martabat bahasa Melayu yang pernah menjadi bahasa “lingua franca” ini tidak mustahil untuk menjadi realiti sekali gus menjadi bahasa penting dunia. Kita haruslah merenungi kata-kata hikmat “Bahasa mencerminkan bangsa dan bangsa pula mencerminkan negara” yang mempunyai maksud yang tersirat dan mendalam ini.

 

















No comments:

Post a Comment