CONTOH-CONTOH KARANGAN

CONTOH-CONTOH KARANGAN
.

Thursday 30 October 2014


Langkah melahirkan masyarakat yang berjimat cermat.











         Seiring dengan dunia globalisasi ini, amalan berjimat cermat dalam kalangan masyarakat di negara ini masih berada di tahap yang rendah. Hal ini terjadi demikian kerana rata-rata daripada mereka memegang prinsip biar papa asal bergaya tetapi tidak mengukur baju di badan sendiri yang akhirnya memakan diri sehingga hutang keliling pinggangSediakan payung sebelum hujan, itulah peribahasa yang dikarang oleh nenek moyang kita dahulu untuk mengingatkan masyarakat agar mengamalkan sikap berjimat cermat dalam apa jua keadaan. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya pihak-pihak tertentu menjalankan pelbagai kaedah bagi mengingatkan masyarakat yang sentiasa alpa agar menghayati amalan berjimat cermat.

         Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memupuk amalan berjimat cermat dalam kalangan anak-anak sejak kecil lagi. Mereka sewajarnya menggalakkan anak-anak menabung sebagai langkah awal menanam sikap berjimat cermat dalam jiwa anak-anak. Wang tabungan ini dapat digunakan untuk tujuan pendidikan bukannya untuk membeli set permainan yang tidak berfaedah. Amalan menggalakkan anak-anak membawa bekal dari rumah juga merupakan salah satu cara mendidik anak-anak agar mereka berjimat cermat. Wang belanja harian yang diberikan oleh ibu bapa juga dapat disimpan di dalam tabung. Amalan menjaga buku, alat tulis, dan pakaian juga merupakan cara untuk anak-anak berjimat cermat bak kata pepatahmelentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak yang telah sebati dengan sikap berjimat cermat ini secara langsung akan membesar sebagai masyarakat yang gemar menabung dan sentiasa mengelakkan pembaziran.

         Selain itu, sekolah juga merupakan tempat penyemai budaya berjimat cermat yang penting. Sebagai institusi penyebar ilmu, sekolah memainkan peranan untuk menyuburkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar termasuklah amalan berjimat cermat. Sebagai contoh, di setiap sekolah terdapat koperasi dan para pelajar digalakkan membeli saham berharga RM1 seorang. Ini ialah salah satu cara untuk menggalakkan para pelajar menabung. Dewasa ini pula, banyak bank yang menyediakan skim pelaburan untuk pendidikan seperti SSPN ( Skim Simpanan Pendidikan Negara) yang bertujuan untuk menggalakkan para pelajar menabung bagi masa depan mereka terutama jika mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Di sinilah para guru memainkan peranan untuk menyedarkan para pelajar agar menyimpan sebahagian daripada wang belanja ke dalam bank untuk membiayai kos pelajaran mereka kelak. Justeru, apabila para pelajar telah terdidik dengan sikap berjimat cermat sejak di bangku sekolah, sudah pastilah nilai positif ini akan dibawa bersama apabila mereka berada di tengah-tengah masyarakat nanti.

         Sesungguhnya, amalan berjimat cermat merupakan amalan mulia yang dituntut oleh semua agama di dunia. Dalam hal ini pihak kerajaan perlu memperbanyak kempen untuk menyedarkan masyarakat tentang amalan berjimat cermat. Sebagai contoh, Kempen Membeli Barangan Tempatan merupakan salah satu kempen ke arah amalan positif ini.Sebagai rakyat yang cinta akan negara, sewajarnya kita membeli barangan tempatan dan berjimat dalam segala perbelanjaan untuk mengurangkan pengaliran keluar mata wang ringgit ke luar negara. Langkah ini juga secara tidak langsung, masyarakat dapat membantu perkembangan dan kemajuan industri kecil serdahana (IKS) di negara ini. Begitu juga setiap kali musim perayaan, menjadi peranan pihak kerajaan untuk mengingatkan masyarakat agar berhemah semasa berbelanja. Tindakan ini perlu untuk mengelakkan masyarakat berhutang sehingga terpaksa meminjam daripada institusi kewangan berlesen ataupun yang lebih teruk meminjam daripada along.

         Di samping itu, institusi kewangan sebenarnya mempunyai peranan yang besar dalam meningkatkan amalan berjimat cermat dalam kalangan masyarakat. Institusi kewangan berlesen bukan sahaja organisasi yang memberikan pinjaman wang kepada masyarakat tetapi juga berfungsi sebagai tempat menabung yang selamat kepada pengguna. Justeru, pihak institusi kewangan perlu menyediakan pelbagai pakej istimewa atau insentif untuk menggalakkan masyarakat menabung. Apabila masyarakat mula sedar akan kepentingan menabung, maka mereka akan berjimat cermat dalam perbelanjaan harian. Oleh itu, menabung pada usia muda sebenarnya akan menyenangkan kehidupan pada hari tua.

         Natijahnya, masyarakat wajar berjimat cermat dan meninggalkan sikap boros ketika berbelanja. Kita hendaklah meninggalkan tabiatbesar periuk, besarlah keraknya atau biar papa asal bergaya kerana kedua-dua sikap ini hanya akan merugikan diri sendiri. Amalkanlah sikap berserdahana ketika berbelanja dan sentiasa beringat bahawa hidup ada pasang dan surutnya seperti sebuah roda. Oleh itu, cermat semasa banyak dan berjimatlah semasa sedikit.

14 comments: