CONTOH-CONTOH KARANGAN

CONTOH-CONTOH KARANGAN
.

Thursday 30 October 2014


CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN


 













        Remaja merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang. Sayang dan malang sekali, remaja pada hari ini tidak sedar akan obligasi yang terbeban di bahu mereka itu. Realitinya, Malaysia memerlukan lebih banyak remaja berwawasan yang mampu mendukung aspirasi negara.

           Dalam perbincangan ini, saya akan mengutarakan ciri-ciri remaja berwawasan yang amat diperlukan oleh negara kita. Remaja berwawasan mestilah remaja yang mempunyai akhlak yang mulia dan boleh dicontohi. Selaras denganbudi bahasa budaya kita, remaja perlulah mempunyai nilai moral yang tinggi. Mereka hendaklah mengamalkan amalan bersopan santun ketika bertutur, berjalan, makan dan minum serta cara berpakaian, selain pandai bergaul dengan masyarakat di sekeliling mereka. Mereka juga mestilah menghormati orang yang lebih tua daripada mereka dengan bertutur dengan nada yang rendah dan membongkokkan badan apabila berjalan di hadapan mereka. Selain itu, remaja yang berwawsan juga  sentiasa membantu rakan-rakan mereka yang berada dalam kesusahan, bak kata peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Perintah agama juga tidak pernah dilupakan oleh remaja berwawasan kerana segala kejayaan bermula apabila kita taat kepada perintah agama. Dengan ini jelaslah bahawa, berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.










         Melihat daripada perspektif yang lain, seseorang remaja yang berwawasan mestilah memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Untuk memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, remaja mestilah menjadikan amalan membaca sebagai salah satu cara hidup keranamembaca jambatan ilmu. Kita sedia maklum bahawa remaja ialah pewaris tampuk pemeintahan negara. Dengan adanya ilmu di dada, mereka pasti dapat menangani segala onak dan duri yang bakal dihadapi oleh negara kelak. Seterusnya remaja berwawasan yang berilmu pengetahuan tinggi tidak akan mudah terpedaya oleh tipu helah anasir-anasir mazmumah yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan anak bangsa,ibarat duri dalam dagingSudah terang lagi bersuluh, dengan mempunyai ilmu pengetahuan, remaja mampu menjadi remaja berwawasan dan negara dapat melahirkan golongan inteligesia yang mampu menggalas aspirasi negara.

          Selain itu, remaja berwawasan merupakan seseorang yang gigih berusaha dan berani mendepani cabaran. Peribahasa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, perlulah disemat di dalam diri setiap remaja. Remaja yang berwawasan sentiasa berusaha untuk mendapatkan kejayaan dan tidak bersikap pesimistik. Tamsilnya, mereka tidak akan berputus asa apabila tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya mereka menjadikan perkara tersebut sebagai permulaan sesuatu kejayaan. Remaja berwawasan juga tidak pernah mengeluh untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Oleh hal yang demikian jelaslah bahawa,remaja berwawasan sentiasa gigih berusaha.










          Semangat patriotik yang tinggi merupakan pemangkin kepada kemerdekaan negara yang sudah mencapai angka lima puluh lima tahun pada hari ini. Remaja yang berwawasan hendaklah menanam semangat patriotik di dalam diri kerana George Santayana pernah berkata, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Semangat cinta akan negara dapat menyelamatkan tanah tumpah darah ini daripada dijajah oleh kuasa asing semula. Remaja berwawasan tidak akan mudah terpengaruh  oleh segala bentuk penjajahan sama ada dari segi mental, intelektual, hiburan dan sebagainya. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh oleh budaya barat yang berbeza sama sekali dengan budaya timur yang kita amalkan selama ini. Jelaslah bahawa, semangat patriotik yang tinggi merupakan ciri remaja berwawasan yang diidam-idamkan oleh negara.












          Akhirulkalam, ciri-ciri remaja berwwasan ini mampu dicapai oleh setiap remaja kerana ciri-ciri ini merupakan aspek yang sememangnya sudah diterapkan di dalam diri setiap warganegara Malaysia tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas. Dengan ini, diharapkan bahawa, cita-cita negara untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara atas angin yang moden tidak menjadi seperti angan-angan Mat Jenin.

No comments:

Post a Comment