CONTOH-CONTOH KARANGAN

CONTOH-CONTOH KARANGAN
.

Monday 10 November 2014

Usaha-usaha Yang Perlu Dilakukan Untuk Menggalakkan Orang Ramai Menggunakan Pengangkutan Awam












     “Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

      Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu yang dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat seperti Melbourne, di negara Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki kereta api dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua mata, pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan. Jikalau sistem tiket bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali.

      Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam adalah dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat meningkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan pengangkutan yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan keseluruhan. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kekerapan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap pengakutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapat balik keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam.

      Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat banyak komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka. Prakasa ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangancinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan sebagainya.Selain rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi yang terbaharu dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka. Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini telah memenuhi tabiat rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang.

      Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikansejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja diberi kepada pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberi kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam di dalam hati mereka. Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam mendalam kepada mereka.
      Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu destinasi dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum. Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan penumpang menaiki pengangkutan awam.














Sunday 9 November 2014



LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU





      Mutakhir ini, arus globalisasi yang semakin menerjah di seantero dunia telah banyak membawa perubahan kepada kehidupan seharian manusia di tanah air kita. Dalam keghairahan mengejar arus modenisasi ini, kita sering dikejutkan dengan situasi negara kita yang sering mengalami masalah jerebu. Berita buruk ini yang semakin menjadi-jadi ini dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal ini telah menjadi polemik orang ramai dari kedai kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan yang sering terlintas di fikiran kita ialah mengapakah Malaysia selalu dilanda dengan krisis jerebu? Banyak jawapan yang berlegar-legar di gawang minda kita kita. Namun begitu, masalah yang semakin serius ini perlu diatasi dengan segera kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

    Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak kerajaan memikul kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam Akta Alam Sekitar. Individu-individu yang telah mengingkari undang-undang dengan membakar sampah sarap secara terbuka manakala pemaju kilang yang membiarkan pelepasan asap daripada kilang tanpa ditapis perlu dikenakan hukuman yang lebih berat. Biarlah mereka menerima pengajaran supaya lebih peka terhadap isu jerebu yang semakin kronik ini, kerana “sudah terhantuk baru tengadah”. Pemaju-pemaju kilang yang mengamalkan sikap sebegitu bukan sahaja harus dikenakan saman yang lebih tinggi, malah premis kilang mereka harus disita. Bagi memastikan masalah jerebu terkawal, kerajaan turut perlu mewajibkan setiap kilang perindustrian supaya memasang sistem penapisan asap dalam kilang mereka untuk mengurangkan penyaluran habuk dan gas-gas toksik ke dalam udara. Pada masa yang sama, Jabatan Alam Sekitar haruslah menggemblengkan tenaga dengan organisasi bukan kerajaan untuk menjalankan kempen kesedaran yang lebih efektif secara giat. Kempen kesedaran ini bukan sahaja dapat menyedarkan orang ramai tentang perbuatan mereka yang menyumbang kepada masalah jerebu, malah kempen tersebut mampu membekalkan mereka dengan informasi tentang langkah-langkah yang patut diambil oleh setiap individu untuk membantu dalam mengatasi fenomena jerebu. Tuntasnya, kerajaan menjadi pemangkin perdana bagi memastikan masalah jerebu dapat ditangani dengan cara yang efektif.

     Selain itu, tindakan kerajaan yang lain dalam menangani masalah jerebu ialah pembenihan awan perlu dilaksanakan demi menyekat keadaan jerebu daripada menular. Akibat daripada fenomena El-Nino, cuaca kering dan kemarau telah melanda Malaysia. Keadaan ini memburukkan lagi keadaan jerebu. Dengan demikian, kerja pembenihan awan terpaksa dilakukan untuk mendapatkan hujan. Apabila cuaca kering, suhu awan menjadi tinggi, titisan air menjadi ringan, Titisan yang sangat ringan ini tidak dapat jatuh ke bumi sebagai hujan. Oleh itu, iodin perak ataupun ais kering akan ditabur untuk menurunkan suhu awan tersebut. Ais kristal akan terbentuk dan semakin membesar lalu ditarik oleh graviti, air kristal akan jatuh ke bumi dan bertukar menjadi titisan air apabila cair akibat daripada suhu bumi yang panas. Hujan boleh memainkan peranan penting apabila keadaan jerebu menjadi sangat serius. Hujan dapat membawa bersama jerebu jatuh ke bumi, justeru masalah jerebu dapat diatasi dengan pembenihan awan.
     Tidak dapat dinafikan juga ialah peranan ibu bapa dalam menangani fenomena jerebu. Ibu bapa dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak mereka tentang langkah-langkah mencegah masalah jerebu, menerusi pendidikan tidak formal. Ketika mereka masih di bangku sekolah, anak-anak diibaratkan sebagai kain putih dan memerlukan bimbingan ibu bapa untuk membentuk jati diri mereka yang sempurna. Sebagai memberi teladan kepada anak-anak mereka, mereka perlu memikul tugas untuk memaparkan sikap mesra alam supaya sikap sebegitu tersemai dalam sanubari anak-anak mereka sehingga menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan, bak kata pepatah, “alah bias tegal biasa”. Berpegang pada prinsip “bagaimana acuan begitulah kuihnya”, anak-anak akan mengikut sikap ibu bapa sebagai rakyat negara yang mengutamakan kebersihan udara. Dalam membentuk keperibadian mereka supaya menjadi individu yang mengamalkan sikap mesra alam, ibu bapa juga diamanahkan dengan tugas menyuburkan nilai-nilai murni, seperti nilai bertanggungjawab dan nilai peka terhadap isu-isu alam sekitar dalam jiwa anak-anak untuk menyedarkan anak-anak tentang tanggungjawab mereka dalam memelihara kebersihan udara. Ibu bapa turut diberikan tanggungjawab untuk membuka mata anak-anak mereka terhadap isu jerebu melalui penyertaan dalam kempen-kempen kesedaran kerajaan. Melalui langkah tersebut, anak-anak akan didedahkan kepada perkara serius ini sejak umur yang kecil lagi, malah hal ini membantu mereka memahami impak jerebu terhadap negara supaya mereka dapat menghulurkan bantuan dalam usaha menangani masalah jerebu. Maka, peranan ibu bapa dalam usaha mengatasi fenomena jerebu turut mendatangkan impak positif kerana mereka menjadi penentu sahsiah generasi muda.

   Selain kerajaan dan ibu bapa, pemimpin-pemimpin negara perlu bertemu dengan pemimpin dari negara jiran dan berbincang tentang kesan-kesan yang disebabkan oleh pembakaran hutan serta mencari cara penyelesaian masalah bersama-sama. Pemimpin negara Indonesia boleh memainkan peranan dengan merancang pembakaran hutan dengan teliti dan memikirkan cara mengurangkan implikasi negatif yang dibawa oleh pembakaran hutan. Mereka juga patut melarang pembakaran hutan dan mengenakan hukuman yang berat terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut. Dengan melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang tersebut, maka masalah jerebu dapat diringankan.

     Sebagai rakyat Malaysia kita boleh memainkan peranan kita dengan tidak membakar sampah sarap secara terbuka. Hal ini kerana asap yang dihasilkan melalui pembakaran sampah sarap merupakan antara penyumbang kepada jerebu dan sebagai akibatnya kesihatan manusia akan terjejas dan membawa kepada pelbagai penyakit seperti sakit kerongkong, penyakit asma, pneumonia, barah paru-paru dan sebagainya. Di samping itu, kita boleh melibatkan diri dalam aktiviti menyelamatkan alam sekitar dengan menanamkan tumbuh-tumbuhan di sekitar kawasan rumah. Dengan adanya kerjasama daripada masayarakat, masalah jerebu pasti dapat ditangani sebelumnasi menjadi bubur.

     Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi menyelesaikan
masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam mengatasi masalah
tersebut, persis kata orang-orang tua, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan masalah jerebu daripada berlaku lagi. Sekiranya Malaysia bebas daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia dapat
berkembang maju dalam semua bidang terutamanya bidang pelancongan yang sememangnya
berpandukan cuaca dan iklim Malaysia. Marilah kita berusaha mengurangkan masalah jerebu dan mewujudkan negara yang bebas jerebu untuk kepentingan bersama.

Wednesday 5 November 2014


KEPENTINGAN AKTIVITI BERIADAH DAN REKREASI











                                          Harum sudah cempaka hiasan,
                                          Berpuput semilir laungan jiwa,
                                          Aktiviti riadah pencetus wawasan,
                                          Pastinya lahir nusa wibawa

            Pantun di atas jelas mengetengahkan kepada kita betapa pentingnya aktiviti riadah. Mengapakah aktiviti riadah kembali diperhangatkan dan menjadi polemik perbualan masyarakat? Marcapada ini,seiring dengan era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini, masyarakat kita sering berlumba-lumba mengejar unsur kemewahan. Tanggapan kekayaan merupakan kunci kepada segala kesenangan sudah sebati dalam kehidupan mereka sehingga mereka alpa akan kepentingan aktiviti riadah yang menjadi salah satu amalan dalam mempraktikkan gaya hidup sihat. Sesungguhnya, aktivit rekreasi dan riadah yang boleh didefinsikan sebagai segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan tubuh badan dan fikiran merupakan elemen yang penting dalam menjayakan segala aktiviti dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, kita perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi sebelum nasi menjadi bubur.

Pertama, aktiviti riadah dan rekreasi boleh menyihatkan tubuh badan kita. Hal ini demikian kerana apabila kita beriadah,kadar lemak yang terkumpul di dalam badan manusia boleh dikurangkan. Contohnya, kita boleh berjoging pada waktu lapang,terlibat dalam aktiviti senamrobik atau berkayak dan sebagainya. Tambahan lagi, jantung dapat mengepam darah dengan lancar. Secara tidak langsung, pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi dapat dihindarkan secara total .Dalam konteks ini, berekreasi dan beriadah  adalah penting supaya badan kita sihat dan otak kita cerdas bak kata peribahasa Melayu,badan cergas otak cerdas.Oleh itu,kita perlu menjadikan aktiviti riadah dan rekreasi sebagai agenda harian agar kesihatan badan yang hakiki dapat dinikmati kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

            Menyingkap daripada sudut perspektif lain, aktiviti riadah yang dilakukan pada setiap minggu mampu menjadi pemangkin untuk mengurangkan tekanan dalam diri seseorang.Bayangkan jika individu terbabit perlu bekerja selama 60 jam dalam 5 hari,bukankah mereka akan mula mengalami tertekan? Kepenatan,keletihan dan beban kerja yang memberatkan akan menyebabkan mereka menunjukkan simptom-simptom tekanan seperti mudah marah,letih,lesu dan tidak bersemangat. Hal ini demikian akan menyebabkan prestasi mereka sama ada di tempat kerja mahupun sekolah mengalami kemerosotan dan mengundang pelbagai impak negatif seperti mendapat teguran daripada pihak atasan,dilucutkan jawatan dan sebagainya. Dengan aktivitinya riadah,hal ini akan membolehkan kita melakukan aktiviti yang kita gemar. Hal ini menjadi cara yang efektif untuk menghiburkan kita. Kita dapat melupakan beban yang ditanggung dan menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, wajarlah aktiviti riadah dipraktikkan dalam kehidupan kita untuk mengurangkan tekanan yang dialami.

            Sementelahan pula, melakukan aktiviti riadah turut memberi peluang kepada kita untuk mengeratkan hubungan antara keluarga mahupun taulan. Hal ini dapat menjadi medium ke arah pembentukan keluarga sakinah.Misalnya, pada hujung minggu, seisi keluarga boleh turun padang untuk melakukan aktiviti riadah bersama-sama sama ada di taman atau padang. Bukan itu sahaja, ahli keluarga boleh berkongsi pandangan ,pendapat dan masalah sepanjang masa mereka bersama-sama. Dengan itu,setiap ahli keluarga boleh memahami antara satu sama lain seterusnya merapatkan jurang antara mereka. Keseronokan melaukan aktiviti riadah juga akan lebih dinikmati dengan adanya orang yang disayangi di sisi kita. Dalam hal ini kita akan menjadi lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk melakukan aktiviti riadah. Oleh itu, hubungan kekeluargaan yang erat dapat dilahirkan dengan melakukan aktiviti riadah.

Selain itu,aktiviti beriadah juga dapat membentuk integrasi kaum. Marcapada ini,kita acap kali melihat pelbagai aktiviti riadah yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum khususnya aktiviti yang berkaitan dengan Program Latihan Khidmat Negara. Contohnya aktiviti berkayak,mendaki gunung dan meluncur. Kondusi ini akan memanifestasikan elemen kesepakatan dalam kumpulan masing-masing. Sesungguhnya, muafakat merupakan inti kepada perpaduan.Setiap ahli akan bersatu ibarat kata peribahasa Melayu, serumpun bagai serai,selubang bagai tebu. Hal ini dapat menjadi medium yang efektif bagi menyatukan kaum sekali gus membina semangat perpaduan. Oleh hal yang demikian,aktiviti riadah yang melibatkan unsur kerjasama ibarat aur dan tebing dapat menjadi wahana ke arah pembentukan integrasi kaum.

            Dalam fasa itu, kebaikan aktiviti beriadah yang dapat dinikmati ialah mengelakkan remaja daripada terlibat dalam masalah sosial. Hal ini demikian kerana masa lapang remaja dapat diisi dengan aktiviti yang menghiburkan dan menyeronokkan kerana masa itu emas. Masa senggang seorang remaja agak banyak kerana tidak perlu menanggung tanggungjawab seperti orang dewasa. Seandainya  masa lapang itu tidak dipenuhi secara bijaksana,remaja akan terjerumus untuk mendorong diri melakukan aktiviti yang kurang berfaedah seperti melepak,bermain komputer tanpa batasan dan berbual-bual kosong ibaratmenghitung bulu kambing. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti riadah,mereka tidak akan melakukan aktiviti yang kurang berfaedah kerana telah merasai keseronokan aktiviti riadah, bak kata peribahasa Melayu sambil menyelam minum air. Oleh itu, remaja dapat menghindarkan daripada terlibat dalam masalah sosial dengan melakukan aktiviti riadah.

            Secara tuntas,kita perlu mencapai kesedaran yang tinggi dalam usaha mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi. Semua pihak perlu berganding bahu ibarat aur dengan tebing bagi menanamkan kesedaran dalam diri masyarakat mengenai kepentingan aktiviti riadah dan rekreasi dalam kehidupan seharian bagi melahirkan generasi masa hadapan yang sihat seterusnya menjadi penyumbang kepada kemajuan negara.

Disediakan oleh:
Khairunnisak bt Hassni,Ida Nur Izzaty bt IKhwan Goh,dan Siti Hawa bt Mahfar.

Tuesday 4 November 2014



PUNCA PENULARAN GENGSTERISME DALAM KALANGAN REMAJA













    Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’"Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah ungkapan  retorik yang pernah dilontarkan oleh bekas Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan.  Malangnya, dalam proses menongkah arus globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini, keruntuhan akhlak remaja semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Salah satu masalah sosial yang kian merebak dalam kalangan remaja ialah gejala gengsterisme. Gengsterisme atau samseng dapat ditakrifkan sebagai perlakuan ganas yang mencederakan fizikal dan menjejaskan emosi serta mental seseorang seperti memukul, membuli, mengugut dan sebagainya. Menurut statistik Polis Diraja Malaysia, kes gengsterisme juvana telah meningkat sebanyak 11 kes pada tahun 2013 berbanding pada tahun 2012. Peningkatan ini menyukarkan usaha negara untuk mencapai impian menjadi negara kelas pertama. Pelbagai usaha diambil oleh kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyifarkan kemelut sosial ini  tetapi usaha ini hanya seperti melukut di tepi gantang kerana kes tersebut masih meningkat sehingga hari ini. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, jadi sebelum mencari jalan penawar untuk menangani kemelut ini, kita haruslah mengenal pasti akar umbi yang menjadi pemangkin kepada fenomena ini kerana jika tiada angin masakan pokok bergoyang.



     Punca dominan yang mencetuskan fenomena ini ialah remaja tidak mempunyai didikan agama yang teguh.  Kebanyakan remaja pada hari ini mempunyai stigma bahawa ajaran agama sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk dipraktikkan pada alaf globalisasi ini. Keadaan menjadi lebih parah apabila ibu bapa pada hari ini tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka. Hal ini terjadi kerana ibu bapa pada alaf ini sering mempunyai tanggapan bahawa ajaran agama tidak penting berbanding dengan pendidikan akademik yang dianggap sebagai tiket kejayaan anak-anak pada masa hadapan. Sikap ini menunjukkan bahawa terdapat ibu bapa yang semakin alpa akan tanggungjawab hakiki mereka dalam membesar, mengasuh dan mendidik anak-anak mereka yang diumpamakan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkan tingkah laku anak–anak sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa hadapannya.  Berlandaskan sikap remaja dan ibu bapa yang sebegini maka tidak hairanlah anak-anak tidak mementingkan amalan solat yang difardukan kepada setiap muslim walaupun solat itu tiang agama yang dapat mencegah kemungkaran. Mereka beranggapan bahawa amalan ini membuang masa dan tidak membantu mereka untuk mencapai kejayaan duniawi. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja pada hari ini lebih bertuhankan hiburan dan keseronokan duniawi semata-mata seperti melibatkan diri dalam ‘Black Metal’. Jika situasi ini berterusan sudah pasti keharmonian masyarakat dan negara kita akan terjejas. Memetik kata-kata seorang tokoh cendekiawan, “Petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut mencintai hiburan.” Keimanan remaja yang senipis kulit bawang menyebabkan kehidupan mereka terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda lantaran mereka tidak dapat membezakan dosa dan pahala lalu mereka akan bertindak untuk menyakiti dan mengasari individu lain demi kepentingan dan keseronokan diri sendiri.  Tegasnya, didikan agama yang tidak mantap mampu mendorong kepada penularan gejala gengsterime di negara ini.



     Selain itu, kegoyahan institusi kekeluargaan juga menjadi pemangkin kepada gejala gengsterime yang melanda di nusa tercinta kita ini.  Institusi keluarga porak-peranda disebabkan oleh tiada lagi persefahaman antara pasangan suami isteri. Sekiranya tiada persefahaman antara mereka sudah pasti bibit-bibit kasih sayang yang dipupuk selama ini hilang sebagai akibat daripada sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan impak yang bakal mengganggui kehidupan anak-anak pada hari mendatang.  Oleh itu, kes penderaan, pertengkaran dan perceraian semakin meningkat bagai bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyirunya lagi. Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kadar perceraian pasangan suami isteri Islam di Malaysia berlaku sekali dalam tempoh masa 15 minit. Keluarga yang porak-peranda akan lalai untuk memberikan kasih sayang mereka kepada anak-anak remaja yang sentiasa memerlukan belaian dan perhatian daripada ibu bapa mereka.  Keadaan ini membimbangkan kerana akan menjejaskan perkembangan remaja dan pembentukan personaliti remaja. Maka tidak hairanlah apabila remaja sanggup terlibat dalam gejala samseng untuk menarik perhatian dan mendapatkan sekelumit kasih sayang daripada ibu bapa mereka yang semakin alpa dalam memikul tanggungjawab hakiki mereka. Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan bahawa 50 peratus remaja yang terlibat dalam gejala negatif terdiri daripada remaja yang mempunyai konflik keluarga. Izharlah bahawa kegoyahan institusi kekeluargaan turut mencetuskan fenomena gengsterisme remaja yang ingin melepaskan kemarahan mereka kepada individu yang lain bak kata peribahasa Melayu, ‘orang lain makan nangka, orang lain terkena getahnya’.



     Jika kita kaji dari dimensi yang lain, pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara faktor gejala gengsterime semakin menular dan kian serius bagai duri dalam daging di negara kita pada hari ini.  Hal ini dikatakan demikian kerana remaja pada hari ini lebih mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa dan guru-guru mereka. Tindakan remaja yang sanggup menuruti kata-kata kawannya tanpa memikirkan risiko dapat diumpamakan seperti kerbau dicucuk hidung. Bukan itu sahaja, kebanyakan remaja tidak ingin dipulaukan atau disisihkan oleh ahli kumpulan sekiranya enggan menuruti perlakuan dan kata-kata mereka.Menurut Thrasher yang merupakan pelopor awal tentang kajian gengsterisme mengutarakan bahawa pada peringkat awal remaja, golongan ini berkemampuan untuk mewujudkan geng atau persatuan. Remaja yang masih berbau pucuk jerengau ini sanggup mengkhianati kepercayaan ibu bapa dan guru mereka daripada mengkhianati kumpulan mereka.  Sebagai contohnya, 8 orang pelajar tingkatan 5 dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) telah mengugut guru asrama dengan menggunakan parang. Kumpulan pelajar ini sanggup bertindak demi melepaskan kemarahan dan berseronok-seronok tanpa memikirkan impaknya kepada diri sendiri dan orang lain.  Ekoran sikap remaja yang tersalah memilih rakan menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir negatif seperti gengsterisme. Hal ini dapat dikaitkan dengan petikan sebahagian daripada hadis nabi yang bermaksud, “Jika berkawan dengan tukang besi maka percikan api akan terkena pada tubuhmu.”  Pendek kata, pengaruh dan tekanan daripada rakan sebaya turut mejadi penyebab kepada kemelut gengsterime semakin sukar ditangani.



          Dalam konteks yang sama, punca yang lain ialah pengaruh media yang berteknologi tinggi. Pada alaf modenisasi dan globalisasi ini, pertambahan bilangan dan jenis media berteknologi tinggi seperti rangkaian televisyen dan internet semakin pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Penggunaan media berteknologi ini kebanyakannya dikuasai oleh golongan remaja yang masih mentah. Kajian melaporkan bahawa 80 peratus anak-anak melayari Internet. Memang tidak dapat dinafikan bahawa untuk mencapai status negara maju, rakyat sesebuah negara itu perlu memajukan diri dengan perkembangan semasa seiring dengan kehendak pasaran dunia. Malangnya, kemajuan yang dikecapi pada hari ini turut merosakkan pemikiran dan akhlak remaja di negara kita.  Terdapat banyak media berteknologi tinggi yang mendedahkan pelbagai budaya luar dan aksi-aksi ganas yang mampu menjahanamkan peribadi dan sahsiah remaja yang masih berumur setahun jagung. Sebagai contoh, filem Buli, ‘Gengster’, KL Menjerit dan rancangan ‘WWE Smack Down’ telah membudayakan amalan samseng dalam kalangan remaja yang masih hijau. Penerbitan filem dan rancangan yang berunsurkan keganasan yang sememangnya bertentangan dengan norma-norma kehidupan manusia ini disebabkan oleh sikap penerbit yang bersikap materialistik dan ingin mengautkan keuntungan peribadi daripada mengutamakan kepentingan sejagat. Sikap manusia yang mementingkan diri sendiri ini dapat diumpamakan bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.  Kesannya, remaja akan meniru dan mengikuti aksi-aksi yang ditontoni tanpa memikirkan kesan atas tindakan mereka. Mereka yang sentiasa didorongan oleh semangat inkuiri akan melakukan gengsterisme terhadap orang lain seperti memukul dan mengugut untuk melihat keberkesanan rancangan yang ditontoni oleh mereka.   Ringkasnya bahawa pengaruh negatif yang dibawa oleh media berteknologi tinggi juga menjadi pemangkin kepada kemelut sosial ini kepada ibu pertiwi kita.



      Dari perspektif yang berbeza pula, peraturan sekolah yang lemah turut menyebabkan masalah gengsterisme dalam kalangan remaja kian bermaharajalela dan merebak dengan pantas bagaikan virus epidermik.  Keadaan ini terjadi apabila terdapat sesetengah pihak sekolah pada hari ini lebih mementingkan pencapaian akademik dan lebih berorientasikan peperiksaan. Bagi mereka, pencapaian kecemerlangan pelajar dari aspek akademik menjadi kayu pengukur kepada prestasi kecemerlangan sekolah. Sekiranya hal ini terjadi sudah pasti pihak sekolah akan hilang fokus untuk menangani kes-kes pelajar sekolah dan tidak menganalisis kesalahan pelajar yang dilaporkan seperti kes gengsterisme dan buli yang kian hari kian bernanah di persekitaran sekolah. Pihak sekolah juga tidak mengenakan peraturan dan hukuman yang tegas kepada pelajar-pelajar yang melakukan keganasan pelajar lain dan sikap pihak sekolah ini dapat diumpamakan seperti singa yang hilang taringnya.  Sebagai misalannya, lebih kurang 20 orang pelajar di Sekolah Menengah St. David, Bukit Baru, Melaka bergaduh di kantin sekolah dan memukul sesama sendiri menggunakan kerusi. Kejadian ini membuktikan bahawa kumpulan pelajar ini memantang enteng dan tidak gerun dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.  Sehubungan dengan itu, impian Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang holistik akan terkubur sekiranya gejala gengsterisme semakin berleluasa dalam kalangan remaja yang rata-ratanya merupakan pelajar sekolah. Bukan itu sahaja, kepercayaan ibu bapa terhadap pihak sekolah untuk melahirkan modal insan yang berkualiti turut akan terjejas. (P) Jadi, ketidaktegasan peraturan dan sikap pihak sekolah juga antara punca yang menyebabkan gejala samseng dalam kalangan remaja semakin sukar diatasi.



         Secara analoginya, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa terdapat banyak punca yang menjadi pemangkin kepada penularan gejala gengsterisme dalam kalangan remaja di negara kita. Jika kemelut sosial yang melanda  remaja di negara kita ini tidak dapat dihapuskan, remaja yang merupakan jentera penggerak kemajuan negara  tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk memacu pembangunan negara. Dengan ini, segala aspirasi negara hanya sekadar omongan kosong semata-mata dan akan menjadi angan-angan Mat Jenin Jadi, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Akta Pencegahan Jenayah dan Akta Juvana juga perlu dikaji dan diubah suai selaras dengan zaman globalisasi. Namun begitu, tindakan mengharapkan satu pihak untuk menyelesaikan masalah ini semata-mata tidak berkesan kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak tanpa mengenal batasan usia dan status haruslah mengorak langkah untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mengatasi masalah ini sehingga noktah terakhir. Komitmen padu daripada semua pihak diharapkan impian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat direalisasikan. Secara implisitnya, negara kita dapat berdiri gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia. Imej negara juga akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya. Ahli filsuf Tao pernah menukilkan bahawa jika mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika mahu hidup sepuluh tahun tanamlah pokok dan jika mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa manusia. Jadimarilah kita bersama-sama untuk menanam jiwa remaja dengan peribadi yangmurniBiarlah pepohon terus bergoyangbiarlah matahari terus bersinar dan biarlah masa depan mutiara negara yangberh


KEPENTINGAN DAN LANGKAH PEMUPUKAN AMALAN BUDI BAHASA














     Budi bahasa merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar segala tindakan mereka terpimpin dan tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki  dalam masyarakat. Budi bahasa ini penting untuk melahirkan insan yang mulia, unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional negara ke arah Wawasan 2020. Iman al-Ghazali mengatakan, “Apabila kamu hendak mengenali wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenali diri lihatlah pada wajah”. Kata-kata tersebut mengambarkan betapa keperibadian dan akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap individu. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. Namun begitu, dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, budaya berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari golongan dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat.  Sebelum keadaan menjadi lebih parah, budaya berbudi bahasa perlulah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh diperoleh.

     Salah satu kepentingan amalan ini ialah amalan ini dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara kita.  Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira apa-apa jua warna kulit ataupun status individu tersebut. Bukan itu sahaja, amalan murni ini akan mendidik masyarakat yang berlainan bangsa dan agama supaya sentiasa menjaga perasaan antara satu sama lain sama ada melalui tutur bicara atau perlakuan. Kata orang, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku atau kata buruk padahnya”.   Cetusan gagasan Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam merupakan langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat yang semakin goyah akibat fahaman politik yang berbeza. Konsep ini membawa aspirasi untuk membaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum.  Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam pada itu, perselisihan faham antara kaum atau rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan yang ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ jelas menunjukkan pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada rencaman bangsa. Pepatah ada menyatakan bahawa bersatu teguh bercerai roboh justeru apabila masyarakat bersatu, negara dapat berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat kestabilan negara dengan mudah.  Tegasnya, konsep perpaduan dapat dicapai dengan mudah sekiranya amalan budi bahasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

     Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan berbudi bahasa dapat melahirkan masyarakat yang lebih bertamadun.  Menurut konteks sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan masyarakat yang memiliki tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain pencapaian lahiriah. Oleh itu, masyarakat pada masa tersebut dapat membina tamadun dan empayar yang kuat dan hebat seperti tamadun Mesopotamia, tamadun Mesir, tamadun Hwang Ho dan tamadun Indus walaupun pada masa itu teknologi masih belum berkembang dengan sepenuhnya.  Untuk membina tamadun yang unggul, kita tidak seharusnya bersikap biadap dan kasar seperti mengeluarkan kata-kata yang kesat sehingga memilukan hati pihak lain bagai ditusuk sembilu. Perlakuan seumpama ini menggambarkan masyarakat tersebut masih berada dalam Zaman Jahiliah di mana akhlak dan nilai hidup masyarakat pada masa tersebut adalah sangat rendah.  Sekiranya masyarakat kita lebih bertamadun, sudah pasti kita dapat mempertahankan kemerdekaan. Dalam konteks ini, negara amat memerlukan masyarakat yang berfikiran matang dan bijak untuk mengelakkan penjajahan semula oleh kuasa-kuasa asing seperti kuasa Barat. Secara tidak langsung, industri pelancongan juga turut meningkat.  Secara ringkasnya, masyarakat yang bertamadun dapat dilahirkan melalui amalan budi bahasa.

    Selain itu, masyarakat yang berbudi bahasa akan mempamerkan nilai-nilai yang positif seperti memberikan layanan yang sopan dan bersikap lemah lembut terhadap pelancong asing.  Hal ini penting agar dapat meninggalkan imej yang positif tentang negara kita dalam diri pelancong. Pelancong juga akan mempunyai percutian yang menyeronokkan kerana beranggapan bahawa kedatangan mereka ke sini dialu-alukan dan dihargai oleh masyarakat tempatan.  Dalam pada itu, pekerja-pekerja dalam Jabatan Kastam dan Imigresen, pemandu pelancong serta pemandu pengangkutan awam perlulah memainkan peranan yang lebih penting dengan senantiasa melemparkan senyuman dan bertutur dengan nada yang lembut ketika berurusan dengan pelancong asing. Negara Jepun sayugia dijadikan teladan kerana masyarakatnya sememang kaya dengan budi bahasa. Contohnya, ucapan ‘irasshaimase’ yang bermaksud selamat datang dalam bahasa Jepun pasti akan menusuk ke gegendang telinga tidak kira apa-apa kedai yang dikunjungi. Amalan berterima kasih juga merupakan sesuatu yang biasa dalam masyarakat Jepun.  Sekiranya amalan ini diikuti, sudah pasti keramahan dan kesantunan rakyat Malaysia akan sentiasa meniti dari bibir ke bibir para pelancong dan sentiasa memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama mereka. Senario ini secara tidak langsung akan menjana ekonomi negara melalui industri pelancongan negara yang kian mendapat sambutan hangat.  Jadi, budaya yang murni ini amat penting ketika berurusan dengan pelancong asing agar mereka dapat menikmati percutian di negara kita.

      Di samping itu, pemimpin yang berdedikasi juga dapat dizahirkan.  Pemimpin yang baik akan dapat mentadbir negara dengan lancar kerana mendapat sokongan yang padu daripada rakyat. Pemimpin yang berbudi bahasa sentiasa menitikberatkan kepentingan orang lain daripada kepentingan peribadi. Mereka akan bertindak dengan bijaksana untuk menjaga perasaan pelbagai pihak ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak.  Sehubungan dengan itu, golongan remaja merupakan aset yang sangat bernilai kepada negara kerana mereka adalah generasi pelapis yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara. Oleh itu, budi bahasa seperti menghormati orang tua, bertutur dengan sopan, bertolak ansur dan amalan tolong-menolong perlulah dijadikan panduan dalam kehidupan mereka supaya mereka dapat menjadi seorang pemimpin yang berdedikasi dan berkarisma dapat dilahirkan.  Pemimpin yang berbudi bahasa dapat meningkatkan imej negara kerana pemimpin pemimpin dari negara lain akan kagum dan menghormati negara kita. Ironinya, hubungan diplomatik bagi menjamin kemajuan dan keselamatan negara dapat dijalinkan dengan mudah. Dengan itu, negara kita akan dapatduduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain.  Pendek kata, negara kita akan terkenal di persada dunia kerana memiliki seorang pemimpin yang berwibawa melalui amalan budi bahasa yang dipamerkan.

     Menyedari akan pelbagai kemaslahatan di atas, kita haruslah mengambil langkah-langkah yang pragmatik dan efektif untuk memastikan amalan ini dapat dipupuk dalam setiap sanubari rakyat kita. Oleh itu,kita perlu bertindak mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu-ribu batu mestilah bermula dengan langkah yang pertama. Salah satu langkah yang dominan adalah melalui rombakan sistem pendidikan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. Pendidikan merupakan wahana yang berkesan untuk mentarbiah masyarakat. Melalui pendidikan, kita diajar, dibimbing dan diasuh untuk menjadi insan yang kamil dan holistik sama ada dari aspek jasmani, rohani dan intelek. Bukan itu sahaja, pendidikan juga mampu melahirkan insan yang berhemah tinggi dan berbudi bahasa.  Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Rombakan ini dapat dilihat melalui penerapan nilai-nilai murni yang berkaitan dengan amalan budi bahasa dalam mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari peringkat Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka.  Mereka percaya bahawa dengan mengenali asal usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat melahirkan rakyat yang tinggi semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta.  Jelaslah bahawa dalam usaha untuk memupuk amalan budi bahasa, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan.

     Jika kita lihat dari sudut yang lain, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti kokurikulum dengan lebih giat dan berkesan.  Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wadah yang paling berkesan dalam membentuk amalan budi bahasa seperti bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Para guru pula dianggap sebagai arkitek pembangunan manusia diarahkan untuk mengadakan pelbagai program bagi memupuk amalan budi bahasa ini kerana pelajar ibarat pohon yang baru ditanam. Lantaran itu, mereka perlu dibajai, diairi dan diberi cahaya matahari yang secukupnya.  Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan-badan beruniform seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah akan membentuk semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan khemah, mematuhi giliran memasak dan sebagainya, sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti bergotong-royong oleh persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar sekolah pula akan menanamkan perasaan bertanggungjawab para pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka bak kata pepatah, ‘tak kenal , maka tak cinta.’  Justeru melalui program-program yang dijalankan, para pelajar akan membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih bersikap ‘membina’ daripada ’meruntuhkan’ atau membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih bertanggungjawab terhadap segala kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam yang dirosakkan, atau tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak menyenangkan mata memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang lebih bertolak-ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas awam atau komuter. Anak-anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan yang tua kerana tahap budi bahasa dalam kalangan masyarakat telah meningkat.  Pendek kata, amalan budi bahasa sememangnya dapat dipupuk melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan oleh pihak sekolah.

     Seperkara lagi, peranan ibu bapa juga amat penting dalam melahirkan insan kerdil yang berbudi bahasa tinggi.  ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya,’ begitulah peribahasa yang membawa maksud bahawa peribadi serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka. Memang tidak dapat kita nafikan ibu bapa merupakan guru pertama dalam kehidupan anak-anak sejak dalam rahim ibu lagi. Hal ini membuktikan bahawa ibu bapa merupakan ejen pembentukan karakter anak-anak yang paling ampuh untuk melahirkan insan yang kaya budi bahasa.  Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu dipupuk dari kecil oleh ibu bapa kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya  agar apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-menghormati, beradab sopan dan bertolak-ansur telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Sebagai contoh, anak-anak yang lebih muda perlu menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar agar menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama. Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh bersikap seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan bahawa mereka juga saling menghormati sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak.  Dengan ini, hubungan kemesraan keluarga akan dapat ditingkatkan di samping dapat mewujudkan baiti jannati. Malah yang lebih penting, anak-anak akan lebih beradab dan berbudi bahasa yang akan mencerminkan maruah keluarga tersebut. Anak-anak seumpama ini tidak akan bersikap biadab yang mampu menconteng arang ke muka keluarga sendiri.  Sesungguhnya, peranan ibu bapa yang mempamerkan contoh terbaik kepada anak-anak dapat memupuk amalan budi bahasa dalam diri anak-anak.

    Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang berbudi bahasa adalah melalui kempen yang berkesan.  Hal ini dikatakan demikian kerana kempen-kempen yang diadakan mampu menyedarkan masyarakat tentang kepentingan amalan ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Masyarakat pada hari hari lebih mudah dipengaruhi dan dikuasai dengan kempen-kempen yang diadakan. Sembilan 
tahun lalu iaitu pada 11 Februari 2005 Kementerian Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni sama sekali tidak diwujudkan kalau masyarakat kita berbudi bahasa selayaknya. Kempen yang dicetuskan oleh Dr. Rais Yatim semasa memimpin KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena dalam mengejar fatamorgana hidup sehingga sanggup merendahkan tahap budi bahasa kita. Suatu ketika dahulu , majalah Readers Digest telah menyiarkan hasil kajian kesantunan di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya, Kuala Lumpur menjadi bandar raya kedua paling biadab. Kajian ini amat membimbangkan dan memalukan kita. Oleh itu, kempen seumpama ini haruslah diadakan secara berterusan serta giat dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.  Dengan ini, diharapkan kempen yang bersungguh-sungguh ini dapat menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia serta meletakkan budi pekerti sebagai satu asas dan tunjang dalam kehidupan kita. Secara implisitnya, negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian.  Izharlah bahawa peranan kempen juga penting untuk membudayakan amalan murni ini dalam kehidupan seharian kita.


     Sudah terang lagi bersuluh bahawa dapat disimpulkan bahawa amalan budi bahasa amat mustahak untuk negara mencapai taraf negara maju yang disegani oleh negara-negara gergasi yang lain di dunia.‘Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa, yang elok itu budi’, demikianlah ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dalam kehidupan masyarakat kita. Ungkapan ini disusuli pula dengan bidalan yang mengatakan bahawa budi bahasa tidak boleh dijual beli.  Oleh itu, sifat sifat luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggan masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan semula. Lantaran itu, semua pihak wajarlah bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengelakkan sikap masing-masing perahu, masing-masing kayuh dalam menanam amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu. Kita tidak seharusnya mengharapkan sebelah pihak sahaja  untuk memupuk amalan murni ini dalam setiap jiwa rakyat Malaysia kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni perlulah diimplementasikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran rakyat.  Profesor DiRaja, Ungku Aziz pernah berkata, “Malaysia yang aman dan damai akan lenyap dalam sedikit masa jika rakyatnya tidak bermoral dan nilai budi bahasa yang kian terhakis dari jiwa mereka”. Jadi, kita mengharapkan agar menjelang tahun 2020, tabiat buruk seperti kegiatan gengsterisme dan bercakap kasar sudah lupus dari memori setiap rakyat Malaysia supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah negara Malaysia terus disegani kerana ketinggian budi bahasa rakyatnya.


PERANAN MASYARAKAT UNTUK MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG
















    Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Masyarakat penyayang boleh diertikan sebagai kelompok masyarakat yang hidup dalam suasana saling menghormati, berbakti, memberi khidmat, menolong, berbuat jasa, menabur budi, melakukan kebajikan, menunjukkan rasa kasih dan belas kasihan, bertimbang rasa dan pemurah terhadap mereka yang memerlukan pertolongan dan bantuan. Cara hidup ini juga dikenali sebagai ‘budaya ikram’. Tun Dr Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang sebagai sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri.  Sayangnya, kehidupan dalam suasana pemuafakatan antara ahli-ahli keluarga yang terjalin mesra, bertimbang rasa, faham-memahami, hormat-menghormati sudah semakin terhakis dan telah diganti dengan sikap individualistik bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan tidak peduli yang menebal. Sama ada kita mahu menerima hakikat ini ataupun tidak, fenomena inilah merupakan salah satu daripada punca berlakunya gejala sosial dalam masyarakat seperti yang dihidangkan oleh media massa setiap hari. Malah boleh dikatakan, hampir setiap hari akhbar-akhbar melaporkan berita kejadian penyalahgunaan dadah, pembuangan bayi, pergaduhan yang berakhir dengan kematian, penculikan kanak-kanak, remaja lari dari rumah, murid ponteng sekolah, sumbang mahram dan bermacam-macam lagi masalah yang melibatkan setiap lapisan individu dalam masyarakat.  Sebelum bisul menjadi nanah, setiap anggota masyarakat tanpa mengira usia, bangsa, agama dan status harus memainkan peranan masing-masing untuk menangani masalah ini supaya masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan.

    Peranan masyarakat yang signifikan ialah setiap individu masyarakat haruslah mempunyai didikan agama yang mantap dan utuh.  Membentuk sebuah masyarakat adalah sama seperti membina sebuah bangunan. Sekiranya dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, maka begitu jugalah dengan pembentukan masyarakat yang mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya iaitu didikan agama. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap agama mengajar umatnya supaya berkasih sayang sama ada kasih sayang kepada Pencipta, kasih sayang sesama manusia dan kasih sayang kepada makhluk yang lain di muka bumi ini. Tanpa didikan agama, sudah pasti kehidupan manusia akan keberantakan lantaran nipisnya keimanan yang dimiliki senipis kulit bawang.  Sekiranya kita mempunyai keimanan yang tebal sudah pasti kita tidak akan melakukan kezaliman dan penganiayaan kepada insan lain seperti kes penganiayaan bayi, kes pembunuhan, perogolan, penindasan dan sebagainya. Bukan sahaja itu, kemusnahan alam sekitar juga dapat dielakkan.  Sejajar dengan itu, masyarakat yang penyayang dapat mengurangkan kadar jenayah dan setiap anggota masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang harmoni. Lebih-lebih lagi pembangunan yang lestari dan mapan dapat dipraktikkan disebabkan sifat penyayang telah mulai membenih dalam jiwa masyarakat kita.  Maka jelaslah di sini bahawa didikan agama yang mantap mampu melahirkan masyarakat yang penyayang demi kebaikan bersama.

     Jika kita kaji dari dimensi yang lain, peranan masyarakat yang lain adalah dengan menjadi suri teladan kepada golongan yang masih hijau atau separa matang. Dalam hal ini, ibu bapalah yang memainkan peranan utama.  Hal ini disebabkan setiap individu yang dilahirkan dalam negara kita dilahirkan oleh kesemua ibu bapa dan ibu bapa sepatutnya berusaha membentuk seorang anak yang memiliki sifat-sifat penyayang. Jika setiap ibu bapa terlibat dalam usaha ini dan penggabungan kesemua anak di Malaysia sudah mampu melahirkan sebuah masyarakat yang penyayang.  Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak bak kata pepatah, ‘bapa borek, anak rintik’. Pepatah ini membuktikan bahawa ibu bapa sendiri perlu bersifat penyayang supaya jejak langkah meraka akan diikuti oleh anak mereka. Dalam pada itu, ibu bapa sendiri perlu mencurahkan kasih sayang kepada anak mereka supaya anak-anak yang membesar tidak akan rasa kekurangan kasih sayang.  Keadaan ini secara tidak langsung akan menjadikan seseorang anak yang membesar itu untuk mempunyai sifat kasih sayang kerana mereka mengetahui perasaan kebahagiaan kasih sayang. Akhirnya, masyarakat yang penyayang yang lahir daripada insititusi keluarga yang penyayang dapat dilahirkan.  Tegasnya, sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat ibu bapa perlu memainkan peranan mereka untuk melahirkan masyarakat yang penyayang.

    Selain itu, sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab pihak sekolah juga haruslah memikul obligasi untuk melahirkan masyarakt yang penyayang. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak sekolah juga merupakan salah satu ejen yang penting dalam membentuk masyarakat yang penyayang. Lagipun, golongan kanak-kanak dan remaja banyak menghabiskan masa mereka di sekolah selain rumah dan sekolah dianggap sebagai rumah kedua mereka.  Pendedahan nilai-nilai murni harus didedahkan dan seterusnya disemai ke dalam jiwa setiap pelajar. Oleh itu, pihak  sekolah tidak seharusnya hanya mendedahkan nilai-nilai murni kepada para pelajar dalam subjek Pendidikan Moral dan Agama Islam sahaja tetapi nilai-nilai ini perlu diterapkan pada setiap masa walaupun di luar waktu dua subjek tersebut. Guru-guru pula mesti menyemai sifat penyayang kepada para pelajar sejak mereka kecil lagi seperti kata peribahasa Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Seterusnya  pendekatan-pendekatan yang bersifat penyayang semasa proses pembelajaran dan pengajaran seharusnya dikreatifkan.  Dengan ini,  para pelajar dapat membesar dengan persekitaran yang penyayang dan harmoni sekali gus impian untuk melahirkan masyarakat penyayang dapat direalisasikan. Bukan itu sahaja, impian negara untuk melahirkan modal insan bermentaliti kelas pertama dapat dilahirkan.  Jadi, peranan masyarakat pendidik untuk melahirkan masyarakat penyayang tidak dapat dipertikaikan lagi.

      Peranan masyarakat yang seterusnya ialah aktiviti-aktiviti kemasyarakatan diperbanyakkan. Melalui aktiviti kemasyarakatan yang diadakan, setiap anggota masyarakat akan bersatu kudrat dan sebulat suara untuk menjayakan aktiviti yang dijalankan persis kata orang tua-tua, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Bukan itu sahaja, sifat penyayang akan terserlah melalui amalan tolong-menolong dan bertoleransi dalam aktivti-aktiviti tersebut.  Sebagai tamsilannya, amalan rumah terbuka akan menggalakkan aktiviti ziarah-menziarahi jiran tetangga, saudara-mara dan  rumah-rumah kebajikan pada hari-hari perayaan. Manakala penyertaan masyarakat setempat dalam aktiviti gotong-royong dan kerja sukarela juga perlulah diperbanyakkan.  Aktiviti-aktiviti sosial ini sudah pasti dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain di samping memupuk sikap pemurah, ikhlas, sentiasa sanggup membantu dan menghulurkan tenaga untuk golongan yang tidak berkemampuan ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Akhirnya, masyarakat yang berjiwa penyayang dapat dilahirkan untuk membentuk sebuah negara yang harmoni dan bertaraf kelas pertama. Deduksinya, penganjuran aktiviti-aktiviti masyarakat setempat yang banyak merupakan antara elemen yang penting bagi melahirkan masyarakat penyayang.

     Meninjau dari skop yang berbeza, masyarakat yang penyayang juga dapat dilahirkan melalui kempen kesedaran yang efektif. Usaha ini dapat dilaksanakan oleh golongan masyarakat media sama ada media elektronik atau media cetak.  Seperti yang diketahui umum bahawa media merupakan wahana yang berkesan untuk menyedarkan masyarakat umum tentang kepentingan amalan penyayang dalam menjalani kehidupan harian kita.  Pihak media lebih menitikberatkan aspek sosial iaitu hubungan sesama manusia untuk didedahkan tatapan umum.  Oleh itu, pihak media yang merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang prihatin haruslah menggiatkan pelaksanaan kempen ‘Keluarga Bahagia’, ‘Penerapan Nilai-nilai Murni’ dan ‘Cintai Sungai Kita’ untuk menerapkan budaya penyayang dalam kalangan masyarakat kita. Kempen-kempen ini haruslah diadakan secara berterusan dan bukannya bermusim  atau hangat-hangat tahi ayam.  Sehubungan dengan itu, masyarakat sedar akan kepentingan amalan penyayang dalam konteks kehidupan bermasyarakat. Sikap menganiayai, menindas dan memusnahkan kepentingan orang lain dapat dihindarkan sekali gus dapat menyemai sikap prihatin dalam kalbu masyarakat kita hari ini. Izharlah bahawa peranan masyarakat media melalui kempen-kempen yang diadakan dapat membentuk masyarakat yang penyayang.


       Bulan semakin terang bahawa peranan setiap anggota masyarakat amat penting untuk melahirkan masyarakat yang penyayang.  Kasih sayang merupakan suatu fitrah yang amat bernilai dalam diri manusia. Kasih sayang sangat penting untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Pernyataan ini disokong oleh sabda Rasulullah S.A.W dalam memupuk amalan kasih sayang yang bermaksud, “ Tidak beriman seseorang itu selagi dia tidak kasihkan saudaranya sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri”. Oleh itu,setiap individu dalam kalangan masyarakat harusnya mengambil  inisiatif untuk melakukan anjakan paradigma bagi  merealisasikan pembentukan masyarakat  penyayang dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita tidak seharusnya mengharapkan pihak berkuasa sahaja untuk menjayakan matlamat ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyiIbu bapa seyogianya memainkan peranan penting untuk melahirkan generasi muda yang bermoral, berakhlak baik dan bersifat suka menbantu orang lain. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bekerjasama dan saling membantu serta saling menyayangi ibarat yang tua dihormati, yang muda disayangi. Kita juga harus mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan. Dengan cara ini, masyarakat kita akan dipandang tinggi sebagai sebuah bangsa yang bukan sahaja maju dari aspek kebendaannya justeru kaya dengan budaya penyayang. Secara tidak langsung juga imej negara akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya. Tokoh pujangga yang bernama Ahmad Shauqi Bey berkata, “Sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh. Jika akhlaknya sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap”. Diharapkan pembentukan masyarakat penyayang dapat merealisasikan visi kudsi negara iaitu Wawasan 2020 dengan mudahnya.