CONTOH-CONTOH KARANGAN

CONTOH-CONTOH KARANGAN
.

Thursday 30 October 2014


Langkah melahirkan masyarakat yang berjimat cermat.











         Seiring dengan dunia globalisasi ini, amalan berjimat cermat dalam kalangan masyarakat di negara ini masih berada di tahap yang rendah. Hal ini terjadi demikian kerana rata-rata daripada mereka memegang prinsip biar papa asal bergaya tetapi tidak mengukur baju di badan sendiri yang akhirnya memakan diri sehingga hutang keliling pinggangSediakan payung sebelum hujan, itulah peribahasa yang dikarang oleh nenek moyang kita dahulu untuk mengingatkan masyarakat agar mengamalkan sikap berjimat cermat dalam apa jua keadaan. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya pihak-pihak tertentu menjalankan pelbagai kaedah bagi mengingatkan masyarakat yang sentiasa alpa agar menghayati amalan berjimat cermat.

         Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memupuk amalan berjimat cermat dalam kalangan anak-anak sejak kecil lagi. Mereka sewajarnya menggalakkan anak-anak menabung sebagai langkah awal menanam sikap berjimat cermat dalam jiwa anak-anak. Wang tabungan ini dapat digunakan untuk tujuan pendidikan bukannya untuk membeli set permainan yang tidak berfaedah. Amalan menggalakkan anak-anak membawa bekal dari rumah juga merupakan salah satu cara mendidik anak-anak agar mereka berjimat cermat. Wang belanja harian yang diberikan oleh ibu bapa juga dapat disimpan di dalam tabung. Amalan menjaga buku, alat tulis, dan pakaian juga merupakan cara untuk anak-anak berjimat cermat bak kata pepatahmelentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak yang telah sebati dengan sikap berjimat cermat ini secara langsung akan membesar sebagai masyarakat yang gemar menabung dan sentiasa mengelakkan pembaziran.

         Selain itu, sekolah juga merupakan tempat penyemai budaya berjimat cermat yang penting. Sebagai institusi penyebar ilmu, sekolah memainkan peranan untuk menyuburkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar termasuklah amalan berjimat cermat. Sebagai contoh, di setiap sekolah terdapat koperasi dan para pelajar digalakkan membeli saham berharga RM1 seorang. Ini ialah salah satu cara untuk menggalakkan para pelajar menabung. Dewasa ini pula, banyak bank yang menyediakan skim pelaburan untuk pendidikan seperti SSPN ( Skim Simpanan Pendidikan Negara) yang bertujuan untuk menggalakkan para pelajar menabung bagi masa depan mereka terutama jika mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Di sinilah para guru memainkan peranan untuk menyedarkan para pelajar agar menyimpan sebahagian daripada wang belanja ke dalam bank untuk membiayai kos pelajaran mereka kelak. Justeru, apabila para pelajar telah terdidik dengan sikap berjimat cermat sejak di bangku sekolah, sudah pastilah nilai positif ini akan dibawa bersama apabila mereka berada di tengah-tengah masyarakat nanti.

         Sesungguhnya, amalan berjimat cermat merupakan amalan mulia yang dituntut oleh semua agama di dunia. Dalam hal ini pihak kerajaan perlu memperbanyak kempen untuk menyedarkan masyarakat tentang amalan berjimat cermat. Sebagai contoh, Kempen Membeli Barangan Tempatan merupakan salah satu kempen ke arah amalan positif ini.Sebagai rakyat yang cinta akan negara, sewajarnya kita membeli barangan tempatan dan berjimat dalam segala perbelanjaan untuk mengurangkan pengaliran keluar mata wang ringgit ke luar negara. Langkah ini juga secara tidak langsung, masyarakat dapat membantu perkembangan dan kemajuan industri kecil serdahana (IKS) di negara ini. Begitu juga setiap kali musim perayaan, menjadi peranan pihak kerajaan untuk mengingatkan masyarakat agar berhemah semasa berbelanja. Tindakan ini perlu untuk mengelakkan masyarakat berhutang sehingga terpaksa meminjam daripada institusi kewangan berlesen ataupun yang lebih teruk meminjam daripada along.

         Di samping itu, institusi kewangan sebenarnya mempunyai peranan yang besar dalam meningkatkan amalan berjimat cermat dalam kalangan masyarakat. Institusi kewangan berlesen bukan sahaja organisasi yang memberikan pinjaman wang kepada masyarakat tetapi juga berfungsi sebagai tempat menabung yang selamat kepada pengguna. Justeru, pihak institusi kewangan perlu menyediakan pelbagai pakej istimewa atau insentif untuk menggalakkan masyarakat menabung. Apabila masyarakat mula sedar akan kepentingan menabung, maka mereka akan berjimat cermat dalam perbelanjaan harian. Oleh itu, menabung pada usia muda sebenarnya akan menyenangkan kehidupan pada hari tua.

         Natijahnya, masyarakat wajar berjimat cermat dan meninggalkan sikap boros ketika berbelanja. Kita hendaklah meninggalkan tabiatbesar periuk, besarlah keraknya atau biar papa asal bergaya kerana kedua-dua sikap ini hanya akan merugikan diri sendiri. Amalkanlah sikap berserdahana ketika berbelanja dan sentiasa beringat bahawa hidup ada pasang dan surutnya seperti sebuah roda. Oleh itu, cermat semasa banyak dan berjimatlah semasa sedikit.

Faktor-faktor kejadian jenayah dalam kalangan remaja.



 









        Kemajuan di negara kita seiring dengan kegawatan akhlak yang semakin sebati dengan jiwa remaja pada hari ini, kerana insan yang baru berusia setahun jagung ini, telah banyak yang terjebak dalam kegiatan jenayah. Menurut Kamus Dewan perkataan 'jenayah' boleh didefinisikan sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang dan peraturan. Jenayah juga dapat dikategorikan kepada jenayah juvana, jenayah sosial, dan jenayah perdagangan. Kejadian jenayah di negara kita semakin meruncing dan menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat kini. Fenomena yang sudah lama bersarang dalam kehidupan masyarakat ini, dapat memberikan suatu persepsi kelekaan dan kealpaan masyarakat terhadap tanggungjawab mendidik, mengasuh, dan membimbing  generasi muda kita hari ini.
Seandainya, jenayah juvana ini masih bermaharajalela di negara kita, nescaya keadaan ini akan meranapkan impian Malaysia menggapai hasrat dan visi kudsi Wawasan 2020.
  
        Kelalaian ibu bapa merupakan faktor perdana yang menimbulkan masalah ini. Kini, sudah menjadi lumrah ibu bapa pada masa sekarang, rakus mengejar kemewahan dan kebendaan semata-mata untuk memenuhi naluri mereka sehingga senggup mengabaikan anak sendiri. Adakah kita ingin melihat generasi hari ini yang akan menjadi nadi negara, menjadi penjenayah pada masa depan? Ibu bapa pada masa ini menyerahkan tugas menjaga anak bulat-bulat kepada pembantu rumah. Bertitik tolak dari sinilah , remaja mengambil kesempatan keluar untuk meneroka dunia yang penuh dengan penipuan  dan masalah  kerana mereka merasakan jiwa mereka kosong akibat keperluan emosi mereka yang  tidak dipenuhi dengan belaian kasih sayang oleh ibu bapa. Akibat kekurangan dan ketandusan kasih sayang serta goyah pegangan agama, remaja mudah bergaul dengan kumpulan samseng yang mengheret mereka ke lembah jenayah.

        Di samping itu, pengaruh media massa turut menyumbang dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam sanubari remaja untuk melakukan kegiatan jenayah. Akibat penyelewengan dalam proses penyaluran maklumat, pemaparan aksi-aksi yang bercorak keganasan, berunsur pembunuhan, dan rompakan membangkitkan keinginan remaja untuk terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral ini. Remaja yang meminati aksi ganas akan lebih terdorong untuk melakukan pergaduhan dan akhirnya membawa  kepada pembunuhan. Hal ini berlaku demikian kerana rancangan dalam media elektronik diselitkan dengan unsur-unsur bercorak negatif yang secara langsung mempengaruhi minda remaja untuk melakukan jenayah.

        Pengaruh rakan sebaya juga menyumbang kepada berlakunya kegiatan jenayah yang kian berleluasa. Pada peringkat remaja, pengaruh rakan sebaya amat kuat dan menebal dalam jiwa mereka. Pada kebiasaannya, pengaruh negatif yang menonjol akan menjadi ikutan para remaja. Remaja juga akan lebih menurut kata-kata atau ajakan rakan-rakan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Demi menjaga budaya remaja dan rasa ingin diterima oleh rakan sebaya, remaja berkenaan tidak teragak-agak untuk bertindak sebagaimana yang dikehendaki oleh kumpulannya. Tambahan pula, mereka lebih suka memberikan tindak balas kepada soal prestij dalam kumpulan agar mereka dapat bergaul dan berinteraksi.

        Konklusinya, remaja sebagai aset penting negara mestilah berjuang untuk membebaskan diri daripada terus dibayangi oleh 'jenayah'. Natijah daripada senario-senario ini, kerjasama yang erat, dan persefahaman yang wujud adalah penting dalam menentukan kecerahan masa depan negara. Ingatlah remaja yang bakal memimpin negara ini merupakan tonggak dan harapan  bagi mencorakkan haluan negara, demi menzahirkan wawasan 2020.

Tuesday, 7 October 2014


Punca-punca dan cara-cara mengatasi masalah disiplin pelajar

            Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibu bapa era globalisasi ini. Ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibu bapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibu bapalah  yang menyebabkan masalah disiplin kian menjadi-jadi.

            Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tidak senonah yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.











            Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibu bapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya.

            Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar.

            Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti yang menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.

            Kemelut ini mudah dibendung jika ibu bapa terlebih dahulu sanggup menngorbankan masa mereka. Ibu bapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibu bapa harus memberi ruang kepada anak untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi. Ringkasnya, ibu bapa penting dalam membanteras isu disiplin ini.





            Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja. Semua pihak haruslah 
bekerjasama bagi menangani masalah ini daripada terus berleluasa.
Generasi pelajar yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara pada masa yang akan datang harus dididik dan dipupuk sebaik mungkin untuk menjadi penganti kepada pemimpin pada masa ini.







Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan kenaikan harga petrol Ron 95 dan Disel sebanyak 20 sen. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka khususnya yang berpendapatan rendah. Kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barang keperluan berlaku. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini bak kata pepatah, “ingat sebelum kenajimat sebelum habis".

Kenaikan harga minyak telah memberikan kesan kepada semua orang serta menyebabkan kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit. Hal ini berlaku kerana kuasa beli mereka semakin berkurangan dan pendapatan mereka menjadi semakin berkurangan. Contohnya, barang-barang keperluan harian dijangka meningkat antara 10 hingga 20 berbanding harga yang sebelumnya. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan kesan kepada mereka kerana pendapatan mereka sebelum ini hanya cukup untuk makan. Oleh itu, masyarakat perlu berbelanja dengan bijak dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.



Kesan sosio-ekonomi sememangnya teruk seperti yang pernah kita saksikan dan alami sebelum ini. Kegiatan mengambil untung berleluasa dan pengguna menjadi mangsa eksploitasi peniaga. Peniaga menggunakan kesempatan ini untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan. Pihak yang tidak mahu memikul beban kenaikan akan memindahkan lebihan kos kepada pihak lain, sama ada pembekal atau peruncit dan mangsanya ialah pengguna. Selain itu, terdapat juga peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang. Sikap tidak bertanggungjawab ini mambawa kesan negatif kepada sosio-ekonomi dan menyekat kemajuan ekonomi negara. Dalam hal ini peranan orang tengah perlu dipantau kerana selama ini mereka yang menentukan harga dan bekalan barang yang dijual di pasaran. Orang tengah berada dalam kedudukan selesa kerana mereka menjana keuntungan besar daripada pihak pengeluar dan pihak pengguna.  Pengistiharan tahun 2014 sebagai tahun 'perang jihad' oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap penguasaan orang tengah  yang selama ini mengaut keuntungan berlebihan amat dialu-alukan. Pengurangan peranan orang tengah akan membolehkan harga barang dipasarkan dengan harga jauh lebih rendah yang akan memberi manafaat kepada pengeluar dan juga pengguna.



Peningkatan harga minyak yang tinggi akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang, terutama harga barang makanan. Bahan makanan, sama ada dalam bentuk mentah, separa proses atau siap diproses perlu diangkut dari tempat pengeluaran atau pemprosesan kepada tempat pemasaran. Kenaikan kos pengangkutan dan kos pemprosesan sudah tentu akan dipindahkan kepada pengguna dengan menaikkan harga barang akhir barang yang diangkut. Kerajaan boleh campur tangan dengan mengumumkan Dasar Kawalan Harga barangan tetapi dari segi ekonomi, dasar campur tangan tersebut akan membawa kepada herotan ekonomi dan memberi lebih banyak keburukan. Orang ramai masih gemar memandu kenderaan sendiri daripada menggunakan pengangkutan awam. Hal ini menyebabkan penggunaan bahan api terus meningkat. Walau bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan pengguna atas pilihan tersebut. Jika mutu perkhidmatan awam baik bas, teksi dan kemudahan LRT dan komuter masih kurang memenuhi kehendak dan permintaan rakyat. Kita tidak boleh membandingkan dengan negara lain sekiranya ingin menggalakkan pengguna menggunakan pengangkutan awam. Contohnya, sistem pengangkutan awam di Singapura adalah cekap dan lengkap. Oleh itu, kenaikan harga barang memberikan impak yang sangat besar kepada kuasa beli masyarakat.









 Selain kenaikan harga bahan keperluan yang membebankan masyarakat, terdapat kesan kenaikan harga lain kerana melibatkan sumber bahan bakar ini. Antaranya ialah industri perumahan yang mana mengalami kesan tinggi terhadap kenaikan minyak. Kos perkhidmatan yang membebankan juga akan bertambah seperti tambang bas dan teksi kerana keperluan terhadap bahan bakar ini. Pengusaha khususnya golongan yang kurang mampu terpaksa menanggung bebanan kos yang tinggi seperti kenaikan kadar sewa dan cukai yang melampau bagi sesebuah premis perniagaan sehingga ada pemilik restoran yang terpaksa menutup restorannya ekoran daripada kenaikan kadar sewa tapak premis berkenaan. Bagi mengurangkan bebanan ini, peniaga terpaksa menaikkan harga barang yang dijual. Kesannya, tekanan harga yang tinggi ini terpaksa dihadapi oleh pengguna. Dalam keadaan sekarang, masyarakat perlu mengambil pendekatan berhemah untuk menguruskan kewangan mereka.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan anggota masyarakat di negara kita untuk menangani masalah ini. Antara langkah yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah menjalankan kempen jimat cermat dalam kalangan pengguna. Hal ini berlaku demikian kerana dengan melalui kempen samada melalui radio, tv mahupun akhbar, kerajaan boleh menggalakkan masyarakat supaya berjimat cermat. Di samping itu, kempen tersebut juga sekurang-kurangnya diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada para pengguna. Dengan cara itu, kesan kenaikan harga barang akan dapat ditangani dengan lebih berkesan dalam kalangan pengguna.




Masyarakat yang juga merupakan pengguna terutama yang mempunyai tanah sendiri digalakkan untuk menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan harian. Sebenarnya, cadangan ini pernah dipraktikkan pada 1970an dengan rancangan Buku Hijau. Dengan cara ini, para pengguna tidak perlu membeli sayur-sayuran di pasar setiap hari. Contohnya, masyarakat boleh menanam sayur-sayuran yang mudah ditanam di belakang rumah ataupun di dalam pasu seperti cili, kangkung, sawi, kunyit, serai, tomato dan sebagainya. Selain untuk kegunaan sendiri, sayur-sayuran itu juga boleh diberikan kepada jiran-jiran yang berhampiran. Sudah tentu tindakan ini akan menjimatkan perbelanjaan dan secara tidak langsung, cara ini juga boleh merapatkan hubungan sesama jiran dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang harmoni. Selain itu, cara ini juga boleh menjimatkan masa untuk membeli sayur-sayuran di pasar.



Pihak kerajaan hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan dengan sesuka hati tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Contohnya, mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan dengan sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kenaikan harga barang.

Kesimpulannya, kenaikan harga minyak secara langsung atau tidak langsung akan menyebabkan harga barang meningkat. Kenaikan harga barang yang tidak terkawal akan menyebabkan kekacauan dan ketidaktentuan ekonomi, sosial dan politik yang mengancam keharmonian negara. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk membendung masalah kenaikan harga barangan keperluan dan mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini supaya masalah kenaikan harga barang dapat dikawal. Sebagai pengguna bijak kita perlu mengawal perbelanjaan seharian supaya kita tidak akan dibebani dengan hutang keliling pinggang.

CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN


 













        Remaja merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang. Sayang dan malang sekali, remaja pada hari ini tidak sedar akan obligasi yang terbeban di bahu mereka itu. Realitinya, Malaysia memerlukan lebih banyak remaja berwawasan yang mampu mendukung aspirasi negara.

           Dalam perbincangan ini, saya akan mengutarakan ciri-ciri remaja berwawasan yang amat diperlukan oleh negara kita. Remaja berwawasan mestilah remaja yang mempunyai akhlak yang mulia dan boleh dicontohi. Selaras denganbudi bahasa budaya kita, remaja perlulah mempunyai nilai moral yang tinggi. Mereka hendaklah mengamalkan amalan bersopan santun ketika bertutur, berjalan, makan dan minum serta cara berpakaian, selain pandai bergaul dengan masyarakat di sekeliling mereka. Mereka juga mestilah menghormati orang yang lebih tua daripada mereka dengan bertutur dengan nada yang rendah dan membongkokkan badan apabila berjalan di hadapan mereka. Selain itu, remaja yang berwawsan juga  sentiasa membantu rakan-rakan mereka yang berada dalam kesusahan, bak kata peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Perintah agama juga tidak pernah dilupakan oleh remaja berwawasan kerana segala kejayaan bermula apabila kita taat kepada perintah agama. Dengan ini jelaslah bahawa, berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.










         Melihat daripada perspektif yang lain, seseorang remaja yang berwawasan mestilah memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Untuk memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, remaja mestilah menjadikan amalan membaca sebagai salah satu cara hidup keranamembaca jambatan ilmu. Kita sedia maklum bahawa remaja ialah pewaris tampuk pemeintahan negara. Dengan adanya ilmu di dada, mereka pasti dapat menangani segala onak dan duri yang bakal dihadapi oleh negara kelak. Seterusnya remaja berwawasan yang berilmu pengetahuan tinggi tidak akan mudah terpedaya oleh tipu helah anasir-anasir mazmumah yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan anak bangsa,ibarat duri dalam dagingSudah terang lagi bersuluh, dengan mempunyai ilmu pengetahuan, remaja mampu menjadi remaja berwawasan dan negara dapat melahirkan golongan inteligesia yang mampu menggalas aspirasi negara.

          Selain itu, remaja berwawasan merupakan seseorang yang gigih berusaha dan berani mendepani cabaran. Peribahasa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, perlulah disemat di dalam diri setiap remaja. Remaja yang berwawasan sentiasa berusaha untuk mendapatkan kejayaan dan tidak bersikap pesimistik. Tamsilnya, mereka tidak akan berputus asa apabila tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya mereka menjadikan perkara tersebut sebagai permulaan sesuatu kejayaan. Remaja berwawasan juga tidak pernah mengeluh untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Oleh hal yang demikian jelaslah bahawa,remaja berwawasan sentiasa gigih berusaha.










          Semangat patriotik yang tinggi merupakan pemangkin kepada kemerdekaan negara yang sudah mencapai angka lima puluh lima tahun pada hari ini. Remaja yang berwawasan hendaklah menanam semangat patriotik di dalam diri kerana George Santayana pernah berkata, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Semangat cinta akan negara dapat menyelamatkan tanah tumpah darah ini daripada dijajah oleh kuasa asing semula. Remaja berwawasan tidak akan mudah terpengaruh  oleh segala bentuk penjajahan sama ada dari segi mental, intelektual, hiburan dan sebagainya. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh oleh budaya barat yang berbeza sama sekali dengan budaya timur yang kita amalkan selama ini. Jelaslah bahawa, semangat patriotik yang tinggi merupakan ciri remaja berwawasan yang diidam-idamkan oleh negara.












          Akhirulkalam, ciri-ciri remaja berwwasan ini mampu dicapai oleh setiap remaja kerana ciri-ciri ini merupakan aspek yang sememangnya sudah diterapkan di dalam diri setiap warganegara Malaysia tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas. Dengan ini, diharapkan bahawa, cita-cita negara untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara atas angin yang moden tidak menjadi seperti angan-angan Mat Jenin.


Usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memupuk semangat kejiranan


Aktiviti bergotong-royong mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.








       Jiran dapat ditakrifkan sebagai orang yang tinggal di  sekeliling  rumah  kita   iaitu   d sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat".Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

    Langkah perdana yang harus diambil ialamengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.






     Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

     Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayuke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
     Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.






    Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

     Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara berada dalam keadaan yang aman dan makmur untuk menggapai Wawasan 2020.






Amalan bergotong-royong sebegini menjadikan setiap kerja yang sukar menjadi mudah, manakala kerja yang berat menjadi ringan.







Amalan bergotong-royong dalam majlis kenduri mampu merapatkan hubungan sesama jiran.