CONTOH-CONTOH KARANGAN

CONTOH-CONTOH KARANGAN
.

Tuesday, 4 November 2014


FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN KELUARGA
BAHAGIA














              Marcapada, masyarakat hari ini lebih ghairah mengejar kemewahan dan habuan duniawi di atas tanah datar ini. Masyarakat pada era golbalisasi ini dikatakan lebih individualistik bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan lebih bersikap materialistik atau bermata duitan. Tanpa disedari, kepentingan keluarga terabai oleh masyarakat. Senario ini lebih membimbangkan apabila Mahkamah Syariah Kuala Lumpur melaporkan setiap 15 minit satu kes perceraian dilaporkan berlaku. Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan di negara kita pada hari ini sedangkan sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah dengan memiliki keluarga yang bahagia. Menurut mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil, keluarga bahagia merupakan asas kepada pembentukan masyarakat penyayang. Beliau juga mengatakan bahawa dengan pembentukan keluarga bahagia, masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang aman dan harmonis tanpa pertelingkahan serta perselisihan faham. Melalui pembentukan keluarga bahagia, individu yang kamil dan dihormati dapat dilahirkan yang sudah tentu akan dapat memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara. Tanggungjawab membentuk keluarga bahagia tidak hanya bergantung pada satu pihak sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen daripada pelbagai pihak bak kata peribahasa Melayu, “bagai aur dengan tebing”. Tidak dapat disangkal bahawa ibu bapa menggalas kewajipan yang dominan bagi membentuk keluarga bahagia, namun terdapat juga pihak lain yang memainkan peranan yang penting dalam membentuk keluarga bahagia.

            Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang penting bagi membentuk keluarga bahagia. Ibu bapa merupakan ketua keluarga yang akan membawa ahli keluarganya ke arah kehidupan yang bahagia dan semmpurna. Nabi Muhammad s.a.w pernah besabda bahawa anak-anak merupakan kain putih ibu, bapa yang memainkan peranan untuk mencorakkan kehidupan anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Didikan dan asuhan ibu bapa penting supaya anak-anak menjadi golongan berkualiti serta dihormati dan tidak menjadi golongan barbar yang menjadi agen perosak terhadap pembangunan negara. Dalam hal ini, ibu bapa yang merupakan tulang belakang keluarga dapat mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga dengan memperingati hari jadi ahli keluarga, mengadakan hari keluarga, melancong dan sebagainya. Apabila wujudnya suasana yang harmoni di rumah, anak-anak akan berasa lebih selamat dan selesa untuk berada di rumah daripada membazirkan masa dengan berpeleseran di luar rumah. Ibu bapa harus mentarbiah anak-anak mereka dengan menyemai nilai-nilai murni dan budaya ketimuran dalam sanubari anak-anak sejak berumur setahun jagung lagi bak kata pepatah bagai ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ibu bapa harus meluaskan harizon pemikiran mereka dengan bersikap lebih terbuka. Mereka harus menerima pandangan anak-anak serta sentiasa berbincang dengan mereka supaya anak-anak akan berasa lebih selesa meluahkan perasaan kepada ibu bapa. Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka menelusuri jalan kehidupan yang betul dengan memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya bagai ‘menatang minyak yang penuh’. Ibu bapa juga seyogiannya memberi hadiah dan galakan atas kejayaan ank-anak. Hal ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat penyayang yang merupakan cabaran yang ketujuh dalam usaha mencapai visi dan kudsi Wawasan 2020. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia demi kemajuan masyarakat dan negara.

          Namun begitu, peranan pihak lain tidak wajar dikesampingkan. Selain ibu bapa, masyarakat juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan keluarga bahagia.  Masyarakat merupakan antara elemen penting yang dapat menetukan pembentukan seorang individu yang kamil dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan keluarga bahagia.  Masyarakat di sesuatu kawasan tempat tinggal hendaklah sentiasa bekerjasama antara satu sama lain seperti aur dengan tebing dengan mengadakan kenduri, gotong royong, sukaneka dan rumah terbuka.  Penduduk yang menghadiri majlis rumah terbuka bersama keluarga mereka dapat menjalin semangat ukhuwah yang baik dengan penduduk setempat. Dengan ini ahli keluarga dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan selesa.  Sudah menjadi fitrah dalam melayari bahtera perkahwinan ada masam manisnya kerana langit tidak selalu cerah. Oleh itu, masyarakat setempat hendaklah mengamalkan sikap menjaga tepi kain orang bagi membendung krisis rumah tangga yang berlaku dalam kalangan jiran kita. Masyarakat perlulah menasihati pasangan yang menghadapi konflik supaya berdamai demi kebaikan bersama terutamanya kepada generasi muda.  Dengan adanya keluarga yang harmoni, anak-anak tidak akan terlibat dalam kancah negatif seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme dan gengsterisme.  Perkara ini akan menjamin golongan yang baru berdarah setampuk pinang ini dapat  menelusuri penitian jalan hidup dengan betul bagi menjadi individu yang berkualiti dan mengharumkan nama keluarga.  Jelaslah bahawa masyarakat turut memainkan peranan yang penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia. 

            Jika dilihat dari dimensi yang lain, pihak kerajaan juga menggalas kewajipan yang setimpal dalam usaha membentuk keluarga bahagia.  Pihak kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan hak kanak-kanak dan hak keluarga.  Hal ini dapat menyedarkan dan menginsafkan orang ramai tentang hak insan yang lemah terutamanya anak-anak. Tamsilannya, Akta Perlindungan Kanak-kanak 1948 memberikan perlindungan kepada anak-anak yang didera.  Akta ini melindungi hak kanak-kanak sebagai individu yang harus menikmati kehidupan yang selamat dan bahagia.  Ibu bapa akan mengambil inisiatif untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang penderaan dan seterusnya mendidik mereka menjadi insan yang berguna.  Kerajaan juga mestilah menyediakan penghargaan kepada ibu bapa yang berjaya mewujudkan keluarga bahagia. Hal ini merupakan salah satu langkah optimum bagi membentuk masyarakat madani pada hari muka.  Sebagai misalan, pemberian Anugerah Ibu Mithali yang mengiktiraf kejayaan seorang ibu mentarbiah anak-anaknya menjadi individu cemerlang menjurus ke arah pembentukan modal insan minda kelas pertama yang seimbang dari segi jasmani, ekonomi, rohani dan intelek merupakan satu usaha yang berkesan untuk mendorong kaum ibu melaksanakan tanggungjawabnya dengan efektif. Ringkasnya, kerajaan memainkan peranan yang afdal dalam pembentukan keluarga yang bahagia yang akan menjamin kehormanian masyarakat.

            Dalam nada yang berbeza, media massa juga turut berperanan dalam melahirkan keluarga yang bahagia. Hal ini dikatakan demikian kerana media massa merupakan wahana atau medium yang berkesan untuk mempengaruhi minda dan tingkah laku seseorang. Lebih-lebih lagi, pada zaman digital ini media massa telah semakin canggih seiring dengan kehendak arus modenisasi dan globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini. Sebagai buktinya, kini wujud buku digital, akhbar digital, laman sesawang yang kaya dengan laman sosial yang pelbagai seperti laman ‘blog’, ‘facebook’, ‘instagram’, ‘we chat’, ‘whatsApp’ dan sebagainya. Kecanggihan media massa pada hari ini dapat memudahkan usaha untuk melahirkan keluarga bahagia melalui kempen-kempen kesedaran yang efektif. Contoh kempen yang wajar dijalankan ialah kempen ‘Sayangi Keluarga Anda’, kempen ‘Keluarga Bahagia Teras Kemakmuran Negara’ dan kempen ‘Rumahku Syurgaku’. Kempen-kempen seumpama ini mestilah dijalankan secara berterusan atau berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Dengan adanya kempen-kempen ini, sudah pasti setiap anggota masyarakat mengetahui signifikan memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan sakinah. Secara tidak langsung, mereka akan menjauhi daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan keharmonian keluarga mereka seperti pertengkaran antara ahli keluarga sebaliknya mereka akan berusaha untuk menanam benih-benih kasih sayang terhadap ahli keluarga mereka. Jadi, peranan media massa dengan menjalankan kempen kesedaran tentang peri pentingnya keluarga yang harmoni dapat mewujudkan keluarga yang bahagia dan marem.

            Sebagai konklusinya, dapat disimpulkan bahawa terdapat peranan pelbagai pihak selain ibu bapa dalam usaha melahirkan keluarga bahagia turut dianggap signifikan. Sesungguhnya mencintai keluarga adalah amanah bagi setiap manusia. Rasul saw bersabda, “Paling dekat denganku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya.”  Betapa tingginya darjat manusia yang sentiasa berbuat baik terhadap ahli keluarganya. Bertitik tolak dari sini, peranan ibu bapa untuk melahirkan keluarga bahagia memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Namun begitu, usaha ini tidak harus dipertanggungjawabkan kepada satu pihak sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi umpama ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk memastikan insitisusi kekeluargaan di negara kita tidak goyah walaupun diasak oleh pelbagai faktor. Diharapkan komitmen jitu daripada pelbagai pihak dapat menjamin keutuhan institusi kekeluargaan di negara kita demi menjamin kemakmuran negara. Dengan lahirnya keluarga yang bahagia, impian untuk mencapai Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Perdana Menteri keempat dapat direalisasikan dengan mudah. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepeohon terus bergoyang dan biarlah imej negara terus terpelihara dengan sokongan dan dorongan daripada keluarga bahagia di negara kita. Maju keluarga, majulah negara.




PERANAN IBU BAPA UNTUK MEMBENTUK KELUARGA
BAHAGIA





















Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang di antara ahlinya
Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak terucapkan
Daripada keluarga, lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta insan lain yang memerlukan

                 Ayat-ayat di atas memaparkan signifikannya keluarga dalam kehidupan seseorang. Keluarga merupakan satu institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat. “Baiti Jannati” atau “Rumahku Syurgaku” merupakan pepatah Arab yang sudah tidak asing lagi dalam kehidupan seharian kita. Rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan sebagainya. Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Allahyarham seniman agung tanah air, Tan Sri P.Ramlee pernah mengatakan bahawa sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Kehidupan berkeluarga tidak lari daripada pergolakan dan perselisihan. Senario ini terbukti apabila Mahkamah Syariah Kuala Lumpur melaporkan setiap 15 minit satu kes perceraian dilaporkan berlaku. Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan di negara kita pada hari ini sedangkan sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah dengan memiliki keluarga yang bahagia. Menurut mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil, keluarga bahagia merupakan asas kepada pembentukan masyarakat penyayang. Sebagai nakhoda dalam melayari bahtera perkahwinan, ibu bapa memikul obligasi yang berat untuk memastikan mahligai yang bina berada dalam kebahagiaan. Persoalannya, apakah peranan yang wajar dimainkan oleh ibu bapa untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia seperti yang diimpikan oleh semua pihak?

                 Peranan ibu bapa yang dominan ialah ibu bapa perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak. Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain. Kata orang, “ Yang tua dihormati, yang muda disayangi, barulah keluarga harmoni.” Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.  Jika contoh yang murni diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak seperti sayang-menyayangi, toleransi serta prihatin akan membantu perkembangan jiwa anak-anak dan juga akan mengeratkan hubungan dalam kalangan anak. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi syurga kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha untuk membahagiakan ahli keluarganya dengan memelihara maruah ahli keluarga walau di mana sekalipun mereka berada kerana benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau. Tegasnya, tingkah laku yang baik yang dipaparkan oleh ibu bapa kepada anak-anak bakal dapat mewujudkan keluarga yang bahagia kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

                 Selain itu, ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka. Pengetahuan keibubapaan ini penting dapat dijadikan panduan kepada ibu bapa atau pasangan yang ingin mendirikan mahligai perkahwinan mereka terutamanya kepada pasangan yang masih mentah. Sememangnya alam perkahwinan penuh dengan asam garamnya. Itulah hakikat yang tidak dapat disangkalkan lagi. Sebagai contoh, bakal-bakal ibu dan bapa boleh mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus pascaperkahwinan yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan. Dengan ini, banyaklah keluarga yang mithali dapat dilahirkan dan masalah keganasan rumah tangga dapat dielakkan. Pendek kata, ilmu pengetahuan keibubapaan yang dimiliki oleh mampu merealisasikan impian untuk melahirkan keluarga yang bahagia.
  
                 Jika kita lihat dari dimensi yang lain, pemberian perhatian dan kasih sayang yang secukupnya dari ibu bapa kepada ahli keluarganya juga dapat mewujudkan keluarga yang bahagia. Kasih sayang merupakan kunci utama kebahagiaan. Namun begitu, pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat. Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka. Atas kepentingan ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu dan Ahad sebagai cuti umum bagi kakitangan awam. Manakala pihak swasta pula, turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Ibu dan bapa seharusnya merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberikan peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Oleh itu, sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan.

     Dalam nada yang sama, pemberian didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan oleh pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadang kala tidak munasabah. Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberikan didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik. Benarlah kata  orang tua-tua, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

                 Akhir kalam, bayang kian jelas bahawa ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Tanpa keluarga bahagia, sudah pasti kemakmuran negara akan terjejas. Banyak anak muda akan terlibat dalam kebejatan sosial yang sekali gus akan menjahanamkan agenda pembangunan negara sama ada dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Oleh itu, ibu bapa sebagai pemimpin atau khalifah keluarga mestilah memainkan peranan dengan sebaik-baiknya untuk memastikan keluarga yang dibina bahagia tanpa persengketaan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab berat ini atas pundak ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Komitmen jitu daripada semua pihak ini sudah pasti dapat merealisasikan impian negaran untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat digapai dengan mudah. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah keluarga bahagia di negara kita dapat menyinari kemajuan dan kemakmuran negara sehingga diteladani oleh  mancanegara. Keluarga Asas Pembentukan Masyarakat. Maju keluarga, majulah masyarakat. Pincang keluarga, musnahlah masyarakat.


KEBAIKAN MELANCONG DI DALAM NEGARA BERSAMA
KELUARGA













Melancong dapat ditakrifkan sebagai pergi bercuti atau berlibur ke sesuatu tempat untuk makan angin atau menenangkan fikiran sama ada bersama-sama dengan keluarga ataupun dengan rakan-rakan. Dewasa ini, destinasi-destinasi pelancongan di dalam negara semakin mendapat sambutan dan perhatian dalam kalangan warganegara tempatan mahupun orang luar. Hal ini merupakan hasil daripada usaha-usaha kerajaan mengadakan kempen dan mempromosikan destinasi pelancongan tempatan seperti Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Melaka dan lain-lain destinasi kepada rakyat pribumi Malaysia dan rakyat luar negara. Menurut Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, industri pelancongan di dalam negara boleh berkembang setanding dengan destinasi pelancongan di luar negara seperti Pulau Bali, Disneyland dan lain-lain sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia dilakukan secara giat malah disokong oleh rakyat jelata. Sehubungan dengan itu, salah satu obligasi yang perlu dipikul oleh ibu bapa ialah ibu bapa seyogianya membawa ahli keluarganya melancong di dalam negara dengan lebih kerap untuk memartabatkan industri pelancongan negara di peringkat global. Berpijaklah di bumi yang nyata bahawa melancong bersama keluarga di dalam negara sememangnya membawa pelbagai kemaslahatan yang tidak dapat dinafikan. Marilah kita bersama-sama menghalusi dan meneliti keberkesanan aktiviti melancong bersama keluarga tercinta di tanah tumpahnya darah kita sendiri kerana kata orang, ”tak kenal maka tak cinta”.
Kebaikan yang perdana ialah hubungan kekeluargaan dapat dipererat. Dalam sesebuah institusi keluarga, kesibukan melayani aktiviti harian masing-masing memang tidak dapat dinafikan. Si ibu dan si ayah sibuk dengan kerjaya mereka manakala si anak pulak sibuk dengan tugasan sekolahnya. Situasi ini menyebabkan masa untuk bersama-sama dengan ahli keluarga amat terbatas. Sehubungan dengan itu, aktiviti melancong di dalam negara bersama keluarga ini sudah pasti dapat menyediakan satu ruang untuk ahli keluarga merapatkan hubungan yang kian renggang. Kata orang, yang jauh kita dekatkan. Oleh itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak bercuti di dalam negara pada musim cuti sekolah di pusat peranginan seperti di Tanah Tinggi Cameron, Genting Highlands dan Bukit Fraser. Percutian seumpama ini dapat menenangkan fikiran seisi keluarga kerana berada di kawasan yang jauh dari kesibukan. Bukan itu sahaja,Masa percutian ini juga boleh diguna untuk menyelesaikan masalah keluargaan dengan cara berbincang mengenai masalah keluarga berkenaan. Ibu bapa dan anak-anak dapat memahami antara satu sama lain. Dengan ini, anak-anak serta ibu bapa akan berasa lebih terbuka untuk berbincang mengenai keadaan keluarga mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyelamatkan hubungan kekeluargaan serta institusi keluarga daripada runtuh lalu keluarga yang sakinah dapat dilahirkan. Tegasnya, melancong di dalam negara dapat mempererat hubungan kekeluargaan agar menjadi bagai isi dengan kuku.

Selain itu, percutian di dalam negara bersama keluarga juga dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan anak-anak daripada berleluasa. Melancong merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengisi masa lapang kita. Lazaimnya, semasa cuti persekolahan bermula anak-anak akan mempunyai banyak masa terluang. Sekiranya masa ini tidak dirancang dengan bijak oleh ibu bapa maka anak-anak akan hanyut dalam dunia hedonisme yang akhirnya akan membawa kedurjanaan dalam kehidupan anak-anak. Oleh itu, di kesempatan ini ibu bapa sering merancang percutian terutamanya di dalam negara untuk mengisi masa terluang ahli keluarganya dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Destinasi percutian yang sering menjadi tumpuan ibu bapa pada musim cuti persekolahan ialah taman tema air yang kini dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Taman tema yang sering dikunjungi oleh ahli keluarga ialah Taman Tema Sunway Lagoon, Taman Tema Bukit Gambang dan Taman Tema Air A’Famosa. Kesannya, anak- anak akan terhindar daripada melakukan perkara negatif terutama pada waktu cuti sekolah seperti bercampur gaul dengan remaja yang rosak akhlak. Ibu bapa juga dapat mengetahui aktiviti anak-anak kerana sepanjang waktu melancong, anak-anak sentiasa bersama mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyelamatkan hubungan kekeluargaan serta institusi keluarga daripada runtuh lalu keluarga yang harmoni dan marem dapat dilahirkan. Izharlah bahawa penglibatan anak-anak dalam gejala tidak sihat dapat dielakkan melalui aktiviti melancong bersama keluarga di dalam negara.

Seperkara lagi, ilmu pengetahuan ahli keluarga juga dapat ditingkatkan. Ilmu yang berharga ialah ilmu yang diperoleh melalui pengalaman yang dialami sendiri. Jadi, membawa ahli keluarga melancong di dalam negara membolehkan ahli keluarga kita menimba ilmu pengetahuan yang akan kita ingati selagi hayat dikandung badan. Janganlah kita taksub dengan keunikan dan keistimewaan di negra orang sedangkan keunikan di negara sendiri masih seperti katak di bawah tempurung. Jika situasi ini berlaku, sudah pasti kita akan berasa malu apabila pelancong asing bertanyakan keunikan negara kita kepada kita yang kecetekan ilmu tentang negara sendiri. Sebagai contoh, kunjungan ke tempat-tempat bersejarah seperti Melaka dan Georgetown dapat mendedahkan banyak sejarah negara kepada keluarga kita terutamanya kepada generasai muda. Kita sepatutnya menghargai pengiktirafan ’Tapak Warisan Dunia’ yang telah diberikan oleh UNESCO kepada Melaka dan Georgetown. Bandaraya Melaka perlu dijelajahi oleh ahli keluarga kerana bandar ini kaya dengan peninggalan sejarah Tanah Melayu seperti Kota A’Famosa, Bangunan Stadthuys, Perigi hang Li Po, Makam Hang Tuah dan sebagainya. Kunjungan ke bandar-bandar bersejarah ini sudah pasti dapat mengukuhkan pengetahuan ahli keluarga kita tentang sejarah negara yang dipelajari di sekolah. Secara implisitnya, khazanah sejarah tanah air akan terus terpelihara dan sentiasa terpahat dalam memori setiap anak watan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Ringkasnya, ilmu pengetahuan ahli keluarga tentang keunikan negara sendiri dapat dicapai melalui aktiviti melancong di dalam negara bersama keluarga.

Jika kita kaji dari perspektif yang berbeza, aktiviti melancong di dalam negara bersama-sama dengan keluarga juga dapat meningkatkan ekonomi negara supaya dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain di seantero dunia. Hal ini disebabkan oleh setiap ahli keluarga tidak perlu membazirkan wang mereka untuk bercuti ke luar negara kerana bagi mereka, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Oleh itu, apabila ahli keluarga melancong di dalam negara sahaja, pengaliran wang ke luar negara dapat dielakkan seterusnya negara dapat menggunakan pusingan wang tersebut untuk memajukan sektor pelancongan negara lagi. Malah, kemasukan pelawat-pelawat asing juga dapat meningkatkan kadar tukaran wang sekali gus dapat menambahbanyakkan jumlah pendapatan negara. Sektor perhotelan memperoleh laba yang besar apabila para pelancong menginap di hotel seperti Hotel Seri Malaysia, Hotel Vistana Kuala Lumpur dan Hotel Bahagia Langkawi. Hal ini dibuktikan melalui pertumbuhan pesat bangunan-bangunan hotel di serata pelosok negara. Di samping itu, terdapat juga motel dan chalet didirikan oleh pengusaha pusat-pusat peranginan bagi kemudahan pelancong yang datang. Semakin banyak tempat penginapan dibina, maka semakin banyak peluang pekerjaan terbuka kepada rakyat Malaysia. Dengan ini, kadar pengangguran rakyat kita semakin menurun. Jelaslah bahawa melancong bersama keluarga dalam tempatan dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam nada yang berbeza, melalui aktiviti pakej pelancongan bersama-sama keluarga di dalam negara juga dapat meningkatkan taraf destinasi pelancongan negara di mata dunia. Perkara ini dikatakan demikian kerana apabila sesebuah pusat pelancongan itu sering dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara, pelancong lain yang sebelum ini tidak pernah melawat tempat tersebut akan mempunyai semangat inkuiri untuk melihat sendiri keistimewaan dan keunikan destinasi tersebut. Oleh itu, apabila destinasi tersebut sering menjadi tumpuan dan sebutan seperti Tanah Tinggi Genting dan Tanah Tinggi Cameron, maka tempat tersebut tidak akan putus-putus menerima pelawat seperti air yang mengalir di kali. Dengan demikian, destinasi pelancongan tersebut akan diiktiraf sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang tersohor. Seterusnya, misteri dan keanehan yang terdapat di dalam negara juga menyebabkan pelancong ingin menerokai alam tersebut seperti misteri bunga Refflesia iaitu bunga yang terbesar di dunia. Secara tidak langsung, hal ini memberikan tempias kepada industri tempatan terutamanya industri desa. Oleh itu, kita tidak dapat menafikan lagi bahawa lawatan-lawatan di dalam negera membolehkan destinasi pelancongan di dalam negara dinobatkan di peringkat antarabangsa.

Secara konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa melancong di dalam negara bersama-sama dengan keluarga banyak memberikan kebaikan sama ada kepada institusi keluarga tersebut, mahupun negara kita, Malaysia yang indah permai ini. Industri pelancongan ini sememangnya menjurus ke arah kemajuan ekonomi sesebuah negara. Malah, industri pelancongan juga menjadi pemangkin bagi industri-industri lain untuk sama-sama berkembang maju dan seterusnya menambahkan hasil ekonomi negara. Oleh itu, ibu bapa dan ahli keluarga haruslah menyokong industri pelancongan tempatan untuk memartabatkan industi ini di persada antarabangsa. Namun begitu, usaha ini tidak seharusnya diletakkan atas pundak kerajaan dan keluarga sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, marilah sekalian rakyat Malaysia bersatu ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan bersemangat tinggi setinggi Gunung Everest untuk mempopularkan industri pelancongan di pentas dunia. Diharapkan komitmen jitu daripada pelbagai pihak dapat merealisasikan harapan kita agar suatu masa nanti destinasi pelancongan yang terdapat di Malaysia akan mendapat publisiti yang meluas, malah mendapat perhatian semua penduduk dan menjadi destinasi pelancongan yang terunggul di mata dunia. Oleh itu, rakyat Malaysia yang berhasrat untuk bercuti di luar negara perlu berfikir terlebih dahulu kerana hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar, biarlah industri pelancongan negara terus maju di seantero dunia. Malaysia Boleh!


2. LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN INDUSTRI
PELANCONGAN DESA (NEGARA)

            Sedasawarsa ini, pelancongan desa merupakan industri perkhidmatan yang kian berkembang pesat di negara kita. Pada tahun 2000, purata pelancongan yang berkunjung ke Malaysia dianggarkan sebanyak 10.2 juta orang. Senario ini menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga paling banyak menerima pelancong Asia Timur selepas China dan Hong Kong. Lantaran itu, pelancongan desa telah juga mendapat tempat di mata pelancong asing. Pelancongan desa dapat memberikan pengalaman kepada pelancong supaya menghargai kehidupan di kampung dan menikmati kebudayaan dan adat resam sesuai dengan peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Pelancongan desa akan bertambah maju sekiranya pelbagai pihak memainkan peranan penting untuk memajukan industri ini. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memajukan industri ini agar terus berkembang maju?

          Minhaj pertama yang perlu dilaksanakan untuk memajukan pelancongan desa ialah pihak kerajaan perlu mengadakan kempen melalui media massa dan media elektronik. Melalui kempen yang dilaksanakan, keunikan dan kelebihan sesebuah desa dapat disebarkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing dengan cepat. Dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada pada masa ini, kerajaan boleh membina laman sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang keistimewaan sesebuah desa di negara kita untuk disebarkan kepada masyarakat luar. Sekiranya pihak kerajaan memandang enteng dan bersikap lepas tangan dalam usaha untuk memajukan sektor pelancongan desa, maka industri ini akan terus hilang ditelan zaman justeru dapat mengurangkan pendapatan penduduk kampung. Oleh itu, pelaksanaan kempen merupakan langkah pragmatik dalam usaha memajukan pelancongan desa agar industri ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ditelan arus kemodenan.

            Minhaj seterusnya untuk memajukan pelancongan desa agar terus berkembang ialah pihak kerajaan melalui Kementeriaan Pelancongan di bawah pimpinan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz Nadem haruslah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur di negara kita. Dengan adanya kelengkapan infrastruktur yang sempurna dan kondusif, sudah pasti negara kita akan menjadi destinasi utama kepada pelancong-pelancong asing. Selain itu, kemasukan pelancong asing akan dapat meningkatkan ekonomi industri desa di negara kita melalui pengaliran mata wang asing. Pihak kerajaan juga seharusnya mengeluarkan dana untuk diagihkan kepada wakil-wakil di setiap negeri bagi menaik taraf infrastuktur seperti rumah penginapan, siber kafe, bekalan air bersih, kafe dan kemudahan asas yang lain. Cuba kita bayangkan bagaimana reaksi pelancong asing yang melancong ke negara kita jika kerajaan tidak mengambil berat terhadap kemudahan infrastruktur? Seandainya pihak kerajaan menjalankan tanggungjawab seperti melepaskan batuk di tangga, maka industri desa akan terus berada pada takuk yang sama. Tegasnya, pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan perlulah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur agar industri desa di negara kita terus berkembang maju.

          Selain itu, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai satu minhaj untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Aktiviti-akitiviti rekreasi perlu dilaksanakan dengan lebih efektif kerana aktiviti tersebut merupakan daya tarikan utama kepada pelancong asing mahupun pelancong tempatan untuk menyertai aktiviti yang dijalankan sekaligus meningkatkan industri pelancongan desa. Pihak pengurusan inap desa boleh menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi. Sebagai contoh, mereka boleh memperkenalkan permainan tradisional masyarakat Melayu seperti gasing, congkak, wau, dan sebagainya. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan tarian, aktiviti menuai padi, dan pertandingan membuat kraf tangan. Di samping dapat memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancong asing, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka. Melalui aktiviti ini, banyak nilai murni dapat diserap dalam jiwa pelancong-pelancong kerana ketika menyertai aktiviti-aktiviti tersebut mereka diasuh untuk saling membantu ibarat hati gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah. Seandainya aktiviti rekreasi tidak dilaksanakan dengan penuh komitmen, sudah pasti industri pelancongan desa akan terus mundur dan berada di takuk lama. Ringkasnya, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai uslub penting untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. 

            Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga haruslah memainkan peranan mereka dengan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri. Pihak Kementerian Pelancongan haruslah menitikberatkan perkara ini kerana tidak banyak rakyat Malaysia dan pelancong asing mengenali kawasan-kawasan yang strategik untuk melancong dan melawat kawasan desa di negara kita. Antara langkah yang dapat diambil untuk mempromosikan kawasan pelancongan di desa adalah dengan mengadakan kempen. Pihak media massa dan media elektronik juga haruslah memainkan peranan mereka dalam menjayakan kempen pelancongan ini dengan menyiarkan dan memaparkan lokasi-lokasi di desa yang strategik untuk dijadikan kawasan pelancongan. Pihak kerajaan juga haruslah campur tangan dalam hal ini dengan mengadakan festival-festival seni dan kebudayaan di kawasan-kawasan desa yang terpilih untuk menambah minat pelancong lagi untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kebudayaan dan adat resam sesebuah masyarakat di desa itu. Sebagai contoh, untuk menarik minat kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara adalah dengan mengadakan pesta wau, pesta mencanting batik dan pesta kebudayaan masyarakat di kawasan desa itu. Secara tidak langsung, pelancong akan mengunjungi kawasan itu untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang kebudayaan di situ bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Pendek kata, peranan pihak kerajaan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri dapat menambahkan kehadiran pelancong di negara ini.

            Jika dilihat dari skop yang berbeza, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan perlu membangunkan kawasan desa sebagai langkah untuk memajukan industri pelancongan desa. Berdasarkan kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa masih terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang mampu dieksploitasi sebagai tempat pelancongan khususnya di kawasan-kawasan desa. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sesebuah desa menjadi sebuah pusat pelancongan. Pihak kerajaan bolehlah mendirikan sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah desa seperti industri pemprosesan makanan, batik dan kraf tangan. Industri desa haruslah diperkembangkan supaya tidak lesu serta dapat memberikan pulangan yang lumayan dalam industri pelancongan. Andainya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan mengambil langkah sebegini, maka industri pelancongan desa di negara kita dapat terus berkembang maju. Izharlah bahawa untuk memajukan industri desa, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan hendaklah membangunkan kawasan desa sebagai salah satu pusat pelancongan desa.

            Secara intihanya, bayang kian jelas bahawa usaha semua pihak sangat signifikan dalam memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Seandainya langkah untuk mempromosikan kawasan pelancongan di desa tidak diambil serius oleh pihak kerajaan, kempen Cuti-cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia tidak dapat dijayakan, seterusnya menjatuhkan kekukuhan sektor pelancongan di negara kita. Oleh itu, pihak yang berautoriti perlulah melakukan pelbagai anjakan paradigma untuk memastikan industri desa terus bersinar di negara kita. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan obligasi berat ini kepada pihak tertentu sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Jadi, semua pihak haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai aur dan tebing dalam merealisasikan modus operandi untuk memajukan pelancongan desa di negara kita. Komitmen jitu daripada semua pihak dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Diharapkan usaha bersama ini dapat dapat menangkis pandangan negatif negara-negara Barat yang suatu ketika dahulu pernah mengatakan negara kita sebagai sebuah negara yang penduduknya tinggal di atas pokok dan bercawat. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah industri pelancongan desa dapat menaikkan nama negara di mata dunia walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di atas peta. Malaysia Boleh!


PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK MEMANFAATKAN INTERNET
















 
            Marcapada, internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi dan dalam masa yang sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana hanya internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, kita mampu mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Namun begitu, isu penyalahgunaan internet bukanlah suatu isu baharu. Terdapat manusia sanggup melakukan penyalahgunaan internet untuk memuaskan nafsu diri demi kepentingan diri dengan melakukan pencerobohan maklumat dan menyebarkan berita palsu. Maka tidak hairanlah jenayah siber kian hari kian serius bagai duri dalam daging. Oleh itu, setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara mengakses internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini handal menggunakan internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun begitu, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara khusus berkenaan dengan internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’ internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari internet dan secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada hari ini?

            Memetik kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar, “Seribu mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegegalapan namun, cahaya keimanan pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk meralisasikan hasrat murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Anak-anak yang diasuh dan dibesarkan dengan didikan agama yang mantap dapat membezakan dosa dan pahala ketika melayari laman sesawang. Sebagai contoh, anak-anak tidak akan melayari laman sesawang yang mengandungi unsur pornografi yang mampu mencemarkan minda dan sekali gus mampu mendorong meruntuhkan akhlak anak-anak yang masih separa matang. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak akan menggunakan internet untuk menjejaskan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat dengan menyebarkan fitnah malahan mereka akan menggunakan internet untuk menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat. Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni, sudah pasti akan lahirlah insan yang berguna iaitu insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, mereka dapat menggunakan internet dengan baik dan bijak.       

        Peranan lain yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan internet pada masa ini termasuklah mendedahkan anak-anak dengan segala maklumat berkaitan dengan internet. Hal ini disebabkan anak-anak perlu diberitahu mengenai baik buruk penggunaan internet sebelum mereka didedahkan dengan cara menggunakan kemudahan internet secara bijak. Sekiranya anak-anak sudah diajar dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih berhati-hati dan lebih bijak dalam menggunakan kemudahan internet pada masa-masa akan datang bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, oleh itu sememangnya ibu bapa bertanggungjawab dalam memberikan pengenalan kepada anak-anak mengenai penggunaan internet dari kecil, yang ternyata amat penting dalam kehidupan masyarakat moden masa ini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan segala maklumat berkaitan internet terhadap anak-anak merupakan tindakan yang wajar dilakukan oleh ibu bapa. 

            Selain itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu internet ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus provokasi di internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan internet dapat mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan internet.

            Jika dikaji dari aspek yang lain, ibu bapa juga seharusnya menyekat penggunaan internet oleh anak-anak. Ibu bapa kini mampu mengawal internet dengan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai langkah mengelakkan pengguna internet mengakses laman-laman tersebut dan sistem yang sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di semua alma mater milik kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses laman-laman yang berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan sistem sebegini di rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif seperti yang kebiasaanya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa masa ini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, persis kata peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu bapalah yang perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa sebaik-baiknya mengawal penggunaan internet oleh anak-anak sebagai cara mengajar mereka menggunakan internet secara lebih bijak.

            Akhir sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menggunakan internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka dengan medium-medium pembelajaran menerusi internet. Seperti yang ditegaskan, internet sememangnya memberikan banyak manfaat,termasuklah dari segi pendidikan. Hari ini, kemajuan internet juga selaras dengan kemajuan teknologi seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari internet. Oleh hal yang demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan internet, namun malangnya kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna internet masa kini. Sebaik-baiknya anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangya mereka akan mula memanfaatkan penggunaan internet serta bijak menggunakannya. Ibu bapa juga tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-perani di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada anak-anak. Oleh hal yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa tindakan ibu bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui internet kepada anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan penggunaan internet.

            Secara tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting 
dalam mendidik dan mengasuh anak-anak memanafaatkan penggunaan internet. Perkhidmatan internet sememangnya memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan penggunaan internet dalam kehidupan seharian. Walaupun demikian, kita tidak seharusnya mengharapkan peranan ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Oleh itu, tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa internet sangat penting kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa dan pihak yang lain tidak turut turun padang dalam membantu kerajaan melahirkan generasi yang celik IT dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, sememangnya jikalau semua pihak mula bertindak dari awal, masalah-masalah penyalahgunaan internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah dicantas, dan secara tidak langsung, negara kita 



















 KEPENTINGAN BERSARAPAN PAGI


















            “Mimi tidak suka sarapan pagi. Kalau makan pagi dia mesti sakit perut. Selalunya lepas bangun tidur, dia akan terus ke sekolah. Lagi pun, tak sempat. Kami keluar rumah jam 6.45 pagi. Dia suka sambung tidur dalam kereta daripada makan," kata Halimah ketika diaju soalan kenapa tidak menyediakan sarapan pagi untuk anaknya sebelum melangkah ke sekolah. Senario ini mungkin biasa kita dengar. Sama ada tahu atau tidak ambil kisah, segelintir ibu bapa masih tidak memberi perhatian serius terhadap kepentingan sarapan pagi untuk memastikan anaknya dapat menumpukan sepenuh perhatian pengajaran di dalam kelas. Sebenarnya sarapan pagi sangat penting kepada setiap individu. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir individu yang kurang gemar mengambil sarapan pagi. Mereka menganggap bahawa sarapan pagi hanya akan menambahkan berat badan. Mungkin juga terdapat individu yang sering mengalami masalah sakit perut sejurus mengambil sarapan pagi. Sama ada kita sedar atau tidak, terdapat pelbagai faedah yang kita peroleh apabila mengambil sarapan pagi. Marilah bersama-sama kita mengkaji faedah-faedah pengambilan sarapan pagi.

        Salah satu faedah mengambil sarapan pagi ialah masalah obesiti dapat dielakkan. Banyak orang yang beranggapan bahawa dengan tidak mengambil sarapan pagi, dapat mengurangkan berat badan mereka. Seseorang yang tidak bersarapan cenderung untuk mengambil makanan dengan kuantiti yang banyak pada waktu tengah hari dan tidak berkhasiat serta tinggi kalori seperti makanan ringan untuk menghilangkan kelaparan. Sebetulnya,berat badan lebih mudah dikurangkan dengan mengambil sarapan pagi dengan tidak makan secara keterlaluan pada waktu tengah hari sebagai akibat kelaparan kerana tidak mengambil sarapan pagi. Kajian yang dijalankan Food Facts Asia dengan kerjasama empat universiti di Asia ke atasremaja berusia 10 hingga 12 tahun yang mengamalkan sarapan rata-rata jauh lebih langsing dankurang berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan. Pengambilan sarapan pagi perlulah seimbang dengan tenaga yang diperlukan. Untuk mengelakkan masalah obesiti, kita haruslah bersarapan pagi dengan makanan yang berkhasiat seperti bijiran dengan susu. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan obesiti malahan juga dapat mengelakkan pelbagai penyakit yang berbahaya. Tegasnya, masalah obesiti dapat diatasi dengan memberikan berat badan yang ideal  jika kita mengambil sarapan pagi.

        Selain itu, sarapan pagi dapat membekalkan tenaga kepada kita. Sarapan pagi menyediakan 25peratus daripada jumlah kalori atau tenaga harian dan kunci kesihatan yang baik. Bagi individu yang tidak mengambil sarapan pagi, apabila menjelang tengah hari, mereka akan mula rasa lemah lesu dan tidak bermaya. Kajian telah membuktikan bahawa individu yang mengambil sarapan pagi lebih cergas daripada individu yang tidak mengambil sarapan pagi. Remaja sangat memerlukan sarapan pagi untuk memberikan tenaga kepada mereka. Minda mereka lebih cerdas di awal pagi dan ini memudahkan mereka menumpukan perhatian di dalam kelas. Pensyarah Kanan, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Universiti Putra Malaysia, Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, berkata sarapan pagi amat penting bagi memulakan hari individu dengan lebih bertenaga selepas lebih lapan jam tidur, terutama otak. Disebabkan remaja lama berada di sekolah dan memerlukan tumpuan kepada pelajaran, makanan yang tinggi lemak dan gula jika diambil dalam jumlah yang berlebihan akan menyebabkan mengantuk. Sehubungan dengan itu. sarapan bukan saja memberi tenaga untuk memulakan hari baharu, tetapi juga menjamin prestasi yang lebih baik dalam kehidupan seseorang. Pendek kata, bersarapan pagi penting untuk memberikan tenaga demi menjamin kualiti hidup kita.
          
           Di samping itu,sarapan pagi amat penting bagi mengawal rasa lapar diri kita. Lazimnya, kita perlu bangun seawal pagi untuk memulakan rutin harian kita. Sarapan pagi dapat menjadi alas perut sementara menunggu waktu rehat tiba. Apabila kurang rasa lapar, tumpuan kita terhadap kerja yang dilakukan akan stabil. Jika perut kita lapar, tumpuan kita akan terganggu. Hai ini menyebabkan kita hilang fokus terhadap aktiviti harian kita. Oleh itu, kita perlu mengambil sarapan pagi dengan pengambilan makanan yang mengandungi serat seperti roti bijiran penuh, bijirin  sarapan, kekacang, sayuran dan buah.  Serat membantu dengan memberikan rasa kenyang bagi mengelakkan pengambilan makanan berlebihan dan sekali gus dapat mengawal masalah fizikal, intelektual dan tingkah laku seseorang.  Izharlah bahawa pengambilan sarapan penting untuk mengelakkan rasa lapar.

         Sebagai konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pengambilan sarapan pagi ini banyak memberikan kepentingan kepada diri kita. Pengabaian daripada mengambil sarapan pagi  juga memberikan keburukan kepada diri kita. Oleh itu, kita haruslah memulakanlah hari kita dengan bersarapan kerana mencegah itu lebih baik dari mengubati. Sesungguhnya kita perlu mengetahui apa yang penting bagi diri kita untuk sentiasa sihat dari segi mental mahupun fizikal. Ibu bapa seyogianya menyediakan sarapan yang sihat untuk anak-anak tanpa memberikan sebarang alasan yang boleh membantutkan tumbesaran dan kesihatan anak-anak. Pengambilan sarapan pagi haruslah dijadikan suatu kelaziman supaya alah bisa tegal biasa. Dengan ini, negara dapat menghasilkan modal insan yang sihat sekali gus dapat meningkatkan taraf ekonomi negara agar setanding dengan negara-negara maju yang lain. Berpeganglah pada slogan “Rakyat Sihat, Negara Maju.